Syed Saddiq kini diberi 14 hari tarik balik tuduhan ‘bodoh sombong’


Ravin Palanisamy

MENTERI Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diberikan masa 14 hari untuk menarik balik gelaran “bodoh sombong” terhadap sebuah kumpulan anti khat Jawi, kegagalan berbuat demikian boleh membuatkan menteri itu berdepan saman fitnah.

Pasukan Tindakan Khas Seni Khat (Sekat) hari ini menghantar notis undang-undang kepada Syed Saddiq memintanya menarik balik kenyataan menghina itu.

Notis itu dikeluarkan selepas ketua Pemuda Bersatu itu gagal mematuhi tempoh masa 48 jam diberikan kepadanya untuk menarik balik kenyataan yang dimuat naik di media sosial pada 26 Ogos lalu.

Setiausaha Sekat Arun Dorasamay dan tiga ahli lain menyerahkan notis di pejabat menteri itu hari ini.

Arun berkata selaku menteri, sangat salah untuk Syed Saddiq untuk mengeluarkan kenyataan menghina kepada kumpulan anti pelaksanaan pengajaran seni khat Jawi di sekolah vernakular itu.

Katanya, catatan media sosial menteri itu sudah meraih ribuan perkongsian yang disertai kecaman menghina berbaur perkauman dan prejudis. Tambahnya, penggunaan istilah menghina terhadap kumpulan itu tidak patut dilakukan seorang menteri.

“Seorang menteri mengeluarkan (kenyataan) menghina terhadap sebuah pergerakan yang sah yang mahu menganjurkan gerakan menentang pelaksanaan khat…kami tidak berarak di luar…kami hanya menggunakan hak perundangan kami dalam cara yang sangat berhikmah.

“Apabila seorang menteri berkata begitu, serta merta kami berdepan lebih daripada 10,000 kecaman perkauman. Kami tahu yang ribut media sosial (menyentuh) perkauman sangat tinggi. Ini salah satu yang mengapi-apikannya. Lebih 10,000 kecaman perkauman dikenakan terhadap kumpulan. Bukan itu sahaja, lebih buruk lagi prejudis turut berlaku,” kata Arun.

Katanya, walaupun selepas Syed Saddiq diberikan tempoh 48 jam untuk menarik balik kenyataan itu minggu lepas, beliau gagal berbuat demikian.

Notis terbaru yang dihantar kepada menteri itu menetapkan tempoh 14 hari untuknya menarik balik kenyataan di Twitter dan Facebook, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan beliau berdepan saman fitnah.

“Jika orang biasa, tidak ada kesan sangat tetapi jika seorang menteri buat begini, ia masalah besar, Jadi kami adalah mangsa yang terkesan dengan tuitnya itu.”

Notis itu diterima Pegawai Khas Syed Saddiq, Halian Fadzli Shah.

Arun kemudian memberitahu The Malaysian Insight, sekiranya Syed Saddiq gagal mematuhi notis itu, beliau akan menyaman menteri itu menuntut tidak kurang RM100 juta untuk ganti rugi dan kerosakan ditanggung kumpulan itu.

Katanya, wang itu kemudiannya akan disalurkan kepada isu pendidikan berkaitan.

Pada 25 Ogos lepas, Sekat mendesak Kementerian Pendidikan menangguhkan rancangan pengajaran seni khat Jawi di sekolah vernakular sehinggalah ada jawapan “jelas” tentang isu itu.

Mereka menuntut rundingan dengan kerajaan dilakukan supaya penyelesaian dapat dicapai.

Arun berkata sekiranya tuntutan Sekat tidak dilayan, mereka akan menyakinkan ibu bapa supaya berhenti menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Susulan itu, Syed Saddiq menggelarkan kumpulan itu “bodoh sombong”. – 5 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen