KONGRES Jawi Kebangsaan yang dianjurkan oleh Seni Khat Action Team (Sekat) hari ini meluluskan tujuh resolusi dan akan menyerahkannya kepada Kementerian Pendidikan esok.
Jurucakapnya, Arun Doraisamy berharap kementerian akan bersetuju untuk mengadakan dialog bagi membincangkan isu itu bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak.
“Kita sudah mencapai objektif kita pada hari ini. Kita berjaya menunjukkan kepada negara bahawa ini bukan isu perkauman.
“Tiada rusuhan atau huru-hara dan kita juga menjemput rakan kita dari NGO Melayu untuk menyertainya dan mendengar penjelasan kami.
“Apa yang kita mahu adalah sesi dialog bersama kementerian tetapi perbincangan itu mesti melibatkan wakil Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak.
“Tujuh resolusi diluluskan pada kongres hari ini yang akan diserahkan kementerian pada pukul 11.30 pagi esok,” kata Arun.
Tujuh resolusi itu adalah, “Kami menentang langkah mewajibkan pengenalan Jawi tanpa rundingan; Kami menentang pelaksanaan Jawi dalam Bahasa Melayu dan menjadi subjek ‘wajib lulus; Jawi perlu menjadi subjek pilihan; Keutaman kepada Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan; Mengiktiraf hak sekolah vernakular dan menangguhkan pelaksanaan pembelajaran jawi.”

Ahli Sekat, Siti Zubaidah Kasim atau dikenali Siti Kasim kemudian memberitahu media bahawa Putrajaya perlu berundingan dengan lebih ramai pihak apabila melibatkan isu sensitif.
“Tindakan daripada kementerian adalah bagus. Terdapat beberapa kemajuan. Saya boleh katakan mereka lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.
“Mereka mendengar dan boleh menjadi lebih baik. Saya berharap mereka akan terus memperbaiki diri.
“Mereka perlu berunding dengan rakyat terutamanya dalam kes seperti ini yang amat sensitif,” katanya.
Kongres Jawi hari ini diadakan di Hotel Crystal Crown di Petaling Jaya dengan kehadiran lebih 1,000 orang termasuk dari kumpulan NGO Melayu yang mahu Jawi diajar di sekolah.
Anggota polis turut dikerah untuk memantau kongres itu yang berakhirnya secara aman selepas berlangsung selama tiga jam.
Semalam, kongres yang sama sepatutnya diadakan di Kajang tetapi dibatalkan selepas polis mendapat perintah mahkamah untuk membatalkannya.
Arahan itu dikeluarkan selepas mahkamah khuatir kongres anjuran kumpulan pendidikan Cina Dong Jiao Zong boleh mencetuskan ketegangan kaum dan pergolakan.
Kumpulan-kumpulan berhaluan kanan Melayu sebelum ini menegaskan mereka akan bertindak balas jika ada pihak cuba mengganggu usaha memperkenalkan pembelajaran Jawi di sekolah. – 29 Disember, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen