Marah di Tg Piai melata di luar bandar, kata pengundi


Zaim Ibrahim

Pengundi di Baling, Kedah menyifatkan kemenangan besar Barisan Nasional di PRK Tanjung Piai minggu lalu turut mewakili suara hati mereka terhadap kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2019. 

SEANDAINYA satu lagi pilihan raya kecil diadakan di kawasan luar bandar pada waktu ini, PH setentunya akan tewas atas sebab yang sama seperti di Tanjung Piai.

Sentimen seperti itu dinyatakan pengundi di Baling, Kedah yang berpendapat kemenangan besar BN di Tanjung Piai, Johor minggu lalu turut mewakili suara hati mereka terhadap kerajaan.

Walaupun pilihan raya kecil minggu lalu tiada kena mengena dengan mereka, pengundi ini  juga melihat PH masih gagal menunaikan janji dan menawarkan hidup yang lebih senang kepada rakyat.

Pemandu teksi Bahadzir Bidin misalnya sekarang merasakan penduduk sudah kurang menggunakan perkhidmatan teksi kerana mereka semakin berjimat.

“Semasa BN memerintah, bantuan tunai kepada rakyat lebih tinggi… BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan bantuan musim tengkujuh (untuk penoreh getah).

“Orang kampung turun pekan belanja, kami pemandu teksi pun dapat manfaat.

“Tapi sekarang harga getah turun. Orang kurang keluar pekan. Kami susah dapat pelanggan,” katanya.

Bahadzri, 49, berkata sekarang ini pendapatan hariannya kadang-kadang tidak sampai RM50 sedangkan dulu boleh dapat sehari RM100.

Harga getah skrap kini berlegar pada paras RM2.30 sekilo berbanding pernah mencecah RM8.50 pada sekitar 2012.

Seorang pengundi muda Fikri Ishak berkata kalau ada pilihan raya dalam masa terdekat, Baling akan kekal milik Umno kerana kepercayaan rakyat kepada PH semakin hari semakin terjejas.

Jelas Fikri, 26, ramai anak muda terpikat dengan janji PH mahu mengurangkan kos sara hidup, antaranya memansuhkan tol dan menangguhkan pembayaran balik hutang pinjaman Perbadananan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Tapi sekarang, apabila tak dapat laksana, mereka bagi alasan. “PH hanya banyak berjanji tetapi mereka sendiri tidak pasti mampu buat,” jelas beliau.

Baling adalah daerah kedua terbesar di Kedah, dengan aktiviti menoreh getah menjadi antara sumber ekonomi utama penduduk.

Berdasarkan statistik terbaru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Baling mempunyai 105,467 pengundi berdaftar, dengan pecahan 89% Melayu, 4% Cina dan 5% India.

Sejak mula diwujudkan dalam peta pilihan raya, kawasan ini diwakili oleh Umno dari dulu sampai sekarang, kecuali tiga penggal dipegang oleh PAS selepas pilihan raya umum 1978, 1999 dan 2008.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Azeez Abdul Rahim mengalahkan calon PAS Hassan Saad dengan majoriti 1,074 undi dalam pilihan raya yang juga disertai calon PH Mohd Taufik Yaacob.

Tiga kerusi negeri dalam kawasan parlimen ini – Bayu, Kupang dan Kuala Ketil – diwakili oleh PAS selepas pilihan raya umum yang lalu.

Ketika PH dilihat tidak menunaikan janji, penduduk Baling yang ditemui mengaku mereka masih puas hati dengan khidmat Azeez sebagai wakil BN kepada mereka.

Walaupun Azeez kini pembangkang dan terpalit pula dengan skandal rasuah dan pengubahan wang haram, popularitinya masih tidak terjejas di Baling.

Syafiq Yaakub, 33, berkata, sukar untuk PH bersaing dengan populariti Azeez di Baling.

“Sebelum pilihan raya lepas, Azeez banyak beri bantuan seperti bas sekolah percuma dan ambulans untuk penduduk kampung.

“Orang Baling kenang budinya,” kata beliau.

Azeez berdepan pertuduhan rasuah bernilai RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta, sejak 2010.

Perbicaraan kes itu kini tertangguh berikutan pihak pendakwaan memohon kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi.

“Azeez masih aktif turun padang walaupun kini sebagai pembangkang. Beliau masih mendapat sambutan orang ramai,” kata ahli perniagaan, Fahmi Daud, 46.

“Saya yakin, kalau ada pilihan raya kecil Umno akan kekal pegang Baling, tiga Dewan Undangan Negeri pun di bawah PAS jadi sukar  untuk PH bertanding di sini,” tambahnya, merujuk kerjasama antara dua parti Melayu itu.

Syafeeq menambah kerjasama Umno dan PAS menjadikan Baling kubu kuat yang susah ditembusi oleh PH.

“Kalau dulu Umno dengan Pas tidak bersama pun (PH) tak boleh menang, inikan pula (Umno dan PAS) sudah bersama,” tambah beliau. – 24 November, 2019.  



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen