Tanjung Piai peringatan terakhir kepada Pakatan, kata penganalisis


Sheridan Mahavera

Menurut penganalisis, PHtidak boleh ambil mudah perkara itu walaupun masih ada tiga tahun setengah sebelum PRU15 diadakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2019.

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai merupakan peringatan terakhir daripada penyokong kepada Pakatan Harapan (PH) bahawa pakatan pemerintah itu perlu membuat perubahan atau tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Keputusan yang mengejutkan ramai pemerhati politik dan ahli politik itu, merupakan gelombang protes terhadap pentadbiran dan pemerintahannya selama 18 bulan.

Pengundi Cina Tanjung Piai terutamanya, yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada PH pada PRU14, menunjukkan kemarahan mereka berhubung isu pendidikan yang masih tidak selesai.

Sementara pengundi Melayu pula marah kerana penurunan harga kelapa sawit dan pemotongan bantuan kebajikan kepada golongan berpendapatan rendah dan nelayan, kata mereka.

“Ini tidak bermakna masyarakat Cina akan kembali kepada Barisan Nasional,” kata pensyarah sains politik Dr Mazlan Ali, merujuk kepada pakatan pembangkang yang terdiri daripada Umno, MCA dan MIC.

“Pengundi Cina masih tidak percaya dengan agenda Melayu PAS dan Umno,” kata Mazlan merujuk kepada parti Islam yang kini bekerjasama dengan BN melalui kerjasama politik yang dipanggil muafakat nasional.

“Namun ini merupakan peluang terakhir untuk PH membuat perubahan, prestasinya dalam kerajaan dan untuk menunaikan janji pilihan raya,” kata Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sementara itu, penganalisis Ibrahim Suffian berkata trend mengundi Tanjung Piai mencerminkan sentimen lebih luas walaupun kawasan Parlimen itu merupakan sebahagian daripada Johor, iaitu negeri kubu kuat BN.

“Namun begitu, keputusan itu merupakan petanda buruk bagi PH, sekiranya mereka gagal menangani punca kekecewaan pengundi, ia menjadi satu kemunduran yang boleh mengubah gelombang dalam pertempuran antara PH dan BN, yang memihak kepada mereka.”

Peralihan luar biasa

PH mengalami kekalahan teruk pada PRK itu, yang mana ia tewas di semua 27 pusat mengundi. Pada PRU14, ia berjaya memenangi sekurang-kurangnya 11.

Ini menyebabkan gabungan pemerintah kalah dengan majoriti 15,000 undi, salah satu kekalahan besar dalam sejarah politik Malaysia bagi kerajaan.

Wee Jeck Seng daripada BN meraikan kemenangannya bersama penyokong di luar pusat kiraan undi PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian pada 16 November lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2019.

Difahamkan, keputusan di Tanjung Piai turut mengejutkan BN yang mana mereka hanya menjangkakan akan menang 7,000 ke 8,000 margin undi.

Pada PRU14, 64% pengundi Cina Tanjung Piai dan 32% pengundi Melayu menyokong PH dan ini membolehkan ia memenangi kerusi itu daripada BN dengan hanya 524 undi.

Namun pada PRK, PH tewas di semua kawasan majoriti Cina seperti Pekan Nenas Timur, Tengah, Barat dan Selatan, yang dimenanginya pada PRU14.

Pada masa yang sama, jumlah penyokong BN di kawasan ini meningkat antara 400 dan 500 undi berbanding pada PRU14.

Menurut Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU), peralihan keseluruhan pengundi Cina daripada PH kepada BN dianggarkan antara 27% dan 38%, manaka pengundi Melayu antara 2% dan 12%.

“Impak keseluruhan penurunan 10% sokongan Melayu lebih tinggi berbanding 20% dalam kalangan pengundi Cina kerana populasi Melayu yang lebih tinggi di negara ini,” kata KPRU dalam analisisnya.

“Kemarahan terhadap PH sangat tinggi sehingga ia mampu mengetepikan isu ideologi, kaum, agama dan rasuah. Walaupun masyarakat Cina tidak setuju dengan gabungan Umno-PAS, mereka tetap mengundi BN.”

Sementara itu, Mazlan dari UTM percaya satu lagi mesej penting yang cuba disampaikan penyokong PH adalah pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim tidak boleh ditangguhkan.

“Ini merupakan referendum kepada pentadbiran PH dan juga ketua pentadbiran,” kata Mazlan yang menjalankan kaji selidik mengenai sentimen pengundi di kerusi Parlimen itu menjelang piihan raya kecil.

Perkara ini turut disuarakan seorang lagi pemerhati Lim Hong Siang dari Saudara.

Lim berkata kekecewaan masyarakat Cina terhadap PH, yang sudah sedia tinggi kerana kegagalan menyelesaikan isu pendidikan, menjadi semakin teruk selepas Kongres Maruah Melayu.

Konvensyen nasionalis Melayu yang melaungkan “Malaysia milik orang Melayu” menyakitkan hati penyokong PH terutamanya apabila Dr Mahathir, bersama beberapa menteri turut hadir pada program itu, kata Lim.

“Ada yang akan mengatakan sentimen ini tidak mewakili kerajaan namun kehadiran perdana menteri dan menteri yang lain mewujudkan persepsi bahawa PH bersetuju dengan sentimen itu.”

Walaupun PH masih ada tiga tahun setengah sebelum PRU15 diadakan, Mazlan berhujah tiada sebab untuk PH mengambil mudah perkara itu.

“Petunjuk dari Tanjung Piai bahawa mereka perlu tingkatkan prestasi dalam tempoh tiga tahun, jika tidak, mereka akan diubah.” – 20 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen