Kalah di Tanjung Piai bukan sebab isu serah jawatan, kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Tiada siapa yang pasti punca sebenar kekalahan PH kepada BN, dan jika itulah punca sebenarnya, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 November, 2019.

DR Mahathir Mohamad menepis dakwaan bahawa isu penyerahan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim punca Pakatan Harapan (PH) kalah pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Perdana menteri berkata tiada siapa yang pasti mengenai perkara itu dan jika itu punca sebenar kekalahan PH kepada Barisan Nasional (BN).

“Mungkin ia salah saya, mana saya nak tahu? Kita tak tahu kalau negara sudah sedia terima (serah jawatan). Kita akan putuskan bila tiba masanya,” kata Dr Mahathir selepas penutup majlis Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Sepang, hari ini.

Gesaan supaya Dr Mahathir menyerahkan jawatan kepada Anwar semakin kuat sejak prestasi buruk PH pada PRK Tanjung Piai dan pemerhati politik berkata pemimpin berusia 94 tahun itulah punca kepada kekalahan yang memalukan pada Sabtu lalu.

Sebaik sahaja calon BN dari MCA, Wee Jeck Seng diumumkan menang dengan majoriti 15,086 undi, Dr Syed Husin Ali menerusi Twitter berkata Dr Mahathir “tahu apa yang perlu dibuat”.

Menurut bekas timbalan presiden PKR itu, keputusan PRK itu menunjukkan referendum jelas terhadap PH yang dipimpi oleh Dr Mahathir.

“Keputusannya paling jelas. Rakyat kecewa dan mahu ajar PH khususnya Tun Dr M. 

“Beliau harus tahu apa yg patut dilakukannya dengan segera. Jangan dolak dalik lagi!” katanya merujuk pelan peralihan kuasa kepada Presiden PKR Anwar.

Karmaine Sardini dari Bersatu menjadi calon PH dalam pertembungan enam penjuru, Sabtu lalu.

Wee memperoleh 25,466 undi, manakala Karmaine mendapat 10,380 undi.

Dua hari selepas PH kalah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengadakan perjumpaan dengan 22 ahli Parlimen BN di kediaman rasminya di Putrajaya, malam semalam.

Perjumpaan dipercayai untuk menghalang  usaha menekan Dr Mahathir menyerah jawatan kepada Anwar.

Azmin menafikan dakwaan tersebut dan berkata perjumpaan membincangkan isu negara.

Timbalan presiden PKR itu juga berkata beliau akan bermesyuarat dengan ahli-ahli Parlimen PKR di pejabatnya hari ini, tetapi Anwar berkata beliau tidak dijemput.

Dr Mahathir pagi tadi berkata beliau tahu mengenai perjumpaan di kediaman Azmin semalam tetapi tidak mengetahu butiran perbincangan. – 19 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen