KERAJAAN akan melihat paras kemarahan yang sama seperti di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai jika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) teruskan rancangan subsidi petrol bersasar, kata badan kaji selidik Ilham Centre.
Ilham Centre yang mengkaji sentimen pengundi di Tanjung Piai berkata demikian kerana harga RON 95, yang pada masa ini pada RM2.08 seliter, akan diapungkan.
Walaupun subsidi akan disalurkan kepada penduduk berpendapatan rendah dalam bentuk bayaran bulanan, persepsi terhadap kenaikan harga petrol akan sukar dikawal, kata ketua penyelidik Ilham Centre Dr Mohd Yusri Ibrahim.
“PH kalah perang persepsi. Rakyat tidak akan peduli apa pun jenis mekanisme digunakan kerana apa yang mereka nampak ialah harga petrol naik,” kata Yusri pada forum berkenaan keputusan PRK Tanjung Piai.
Yusri berkata kemarahan luar biasa ditujukan kepada kerajaan daripada pengundi Tanjung Piai akan berlaku sekali lagi apabila PH melaksanakan skim subsidi petrol.
Kerajaan mengumumkan butiran skim subsidi bersasar dalam Bajet 2020 dan dasar itu dijadualkan berkuat kuasa tahun depan di Semenanjung.
Daripada membayar subsidi di pam kepada harga siling RON95, wang itu akan disalurkan kepada pengguna isi rumah yang layak kumpulan B40 dan M40.
“Kerajaan tidak berada di keadaan stabil dan ada isu yang akan buat rakyat marah kepadanya. Jadi bila isu tentang subsidi itu tiba, populariti mereka akan jatuh lagi,” kata Yusri kepada media.
“Kemarahan terhadap kerajaan akan meningkat dan PH tidak mempunyai mekanisme yang cukup baik untuk menepis persepsi negatif pembangkang,” katanya.
Kemarahan terhadap PH terutama daripada pengundi Cina di Tanjung Piai menyebabkan pakatan itu hilang kerusi Parlimen berkenaan dengan lebih 15,000 undi, antara kekalahan terbesar pernah dialaminya dalam PRK. – 22 November, 2019.
Komen