Majoriti AMK sokong jemput Wan Azizah rasmi kongres, kata sumber


Nabihah Hamid

TINDAKAN menjemput Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan kongres AMK diputuskan secara majoriti oleh barisan pemimpinnya, kata sumber sayap Pemuda PKR itu.

Menurut sumber, beberapa individu membantah keputusan itu membuat pendirian tersebut di luar mesyuarat dan bukan secara rasmi semasa ia dibincangkan pada 20 Oktober.

Daripada seramai 21 orang pemimpin AMK pusat membantah keputusan menjemput Wan Azizah itu, hanya tiga yang hadir ke mesyuarat.

Namun individu berkenaan tidak menyuarakan bantahan semasa mesyuarat, kata sumber berkenaan kepada The Malaysian Insight.

“Lebih 30 (pemimpin AMK) hadir mesyuarat tersebut dan tiada sebarang bantahan. Yang membantah di luar ini tak datang mesyuarat pun. Hanya beberapa kerat saja.

“Kalau nak bantah datanglah mesyuarat. Ini semua hanya motif politik dan wayang saja,” kata pemimpin AMK pusat yang enggan dinamakan itu.

Seramai 21 pemimpin AMK yang menolak keputusan itu mahu timbalan presiden parti dijemput merasmikan kongres sayap berkenaan sebagaimana kelaziman.

Namun sumber memberitahu The Malaysian Insight minggu lalu bahawa sayap berkenaan akan memecah tradisi dengan menjemput Wan Azizah, yang merupakan penasihat PKR.

Perkembangan itu muncul susulan pergeseran di antara Mohamed Azmin Ali dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang berlarutan sejak Jun lalu.

Ia berlarutan sejak penyebaran beberapa video seks yang dikaitkan dengan Azmin. Menteri hal ehwal ekonomi itu sudahpun menafikan beliau individu dalam rakaman tersebut.

Pergeseran dengan Anwar itu tidak beransur pulih dan Azmin seterusnya menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad untuk meneruskan khidmat sehingga akhir penggal.

Kenyataan itu bertentangan dengan pendirian seluruh parti Pakatan Harapan yang mahu Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri sebelum pilihan raya umum akan datang.

Selain itu, Azmin dan barisan pemimpin yang menyokongnya juga enggan menghadiri mesyuarat dengan pemimpin parti dan biro politik.

Azmin juga masih belum menjawab dakwaan Pengasas PKR Dr Syed Husin Ali bahawa beliau berhasrat menyertai Bersatu atau menubuhkan parti lain sewaktu kes video seks itu memuncak.

Ketua AMK, Akmal Nasir juga mengesahkan keputusan menjemput Wan Azizah diputuskan dalam mesyuarat biro Pemuda pada 20 Oktober lalu.

Namun kumpulan 21 orang pemimpin AMK yang diketuai setiausaha politik Azmin, Hilman Idham mendakwa undangan pada awalnya dibuat kepada timbalan presiden PKR itu.

Kumpulan berkenaan turut mengkritik Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail kerana didakwa membatalkan jemputan kepada Azmin untuk merasmikan kongres itu.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali memboikot pimpinan parti dan mesyuarat biro politiknya, bersama pemimpin lain yang menyokongnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2019.

Dalam satu kenyataan, kumpulan pemimpin AM turut mendakwa tindakan Saifuddin itu bertujuan membiarkan parti berpecah dan berantakan.

Turut menandatangani kenyataan itu adalah dua orang naib ketua, Mohd Nazree Yunus, Jestin Raj Savarimuthu serta barisan pemimpin AMK negeri.

Saifuddin bagaimanapun semalam menjelaskan jemputan perasmi kongres sayap Pemuda bukan urusan dan tugas setiausaha agung parti, sebaliknya dibuat oleh sayap itu sendiri.

Jumlah 21 orang itu merupakan sebahagian daripada struktur pimpinan pusat AMK yang dianggotai 73 pemimpin Pemuda.

Dalam perkembangan berkaitan, satu surat didakwa menyatakan Azmin bersetuju untuk hadir sebagai perasmi kongres AMK turut dikesan tersebar di media sosial.

Surat yang didakwa dihantar Setiausaha AMK Syukri Ab Razab itu bertarikh 11 September dan didakwa diterima oleh Azmin pada 23 September.

Bagaimanapun Syukri ketika dihubungi menafikan sudah menerima jawapan rasmi ke atas undangan tersebut.

“Betul itu surat saya hantar kepada Azmin pada 11 September. Dan kita tunggu maklum balas rasmi. Jawapan rasmi tak diterima.

“Saya tak pernah terima, saya yang jemput. Saya tak pernah pula nampak tanda setuju yang bercap (terima) itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kongres Nasional AMK akan berlangsung pada 6 Disember ini di Melaka International Trade Centre. – 14 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen