AMK jemput Wan Azizah rasmi kongres, kata Akmal Nasir


Akmal mengingatkan ahli sayap PKR supaya menghormati kepimpinan parti, perlembagaan, dan keputusan mesyuarat parti demi perpaduan bersama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2019.

SAYAP pemuda PKR mengetepikan tradisi apabila mengesahkan tidak menjemput timbalan presiden parti Mohamed Azmin Ali untuk merasmikan kongres tahunannya di Melaka pada awal Disember ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir berkata sayap itu telah memutuskan menjemput penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga timbalan perdana menteri dan bekas presiden parti.

Dalam kenyataan yang dilihat ditujukan kepada timbalannya Hilman Idham, yang juga setiausaha politik Azmin, Akmal mengingatkan pimpinan AMK supaya merujuk kepada parti sebelum membuat kenyataan terbuka yang tidak tepat.

“Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Malaysia telah menetapkan perasmi Kongres AMK  tahun ini adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri merangkap penasihat Keadilan.

“AMK bertanggungjawab memberi mesej yang jelas kepada seluruh anggota PKR bahawa AMK akan kekal teguh mendokong kepimpinan parti yang sekaligus memelihara tradisi perjuangan PKR,” kata Akmal dalam satu kenyataan. 

Ini adalah kenyataan pertama Akmal mengenai isu ini sejak berbangkit hampir dua minggu lalu.

Menurut Akmal, ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat AMK pada 20 Oktober lalu.

Akmal turut mengingatkan ahli sayap supaya menghormati kepimpinan parti, perlembagaan, dan keputusan mesyuarat parti demi perpaduan bersama.

“Setiap anggota parti perlu pastikan usaha ini bukan sekadar menjadi omongan kosong, tapi perlu dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas,” katanya.

Akmal mengulas kenyataan 21 pimpinan AMK yang mengkritik Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa kononnya membatalkan jemputan kepada Azmin untuk merasmikan kongres sayap pemuda.

Mereka adalah majoriti dalam kepimpinan AMK yang menang pemilihan sayap setahun yang lalu.

Kumpulan 21 yang diketuai Hilman dalam satu kenyataan berkata tindakan Saifuddin mencerminkan parti sedang dilanda krisis kepimpinan menyebabkan ia kucar-kacir.

“Kami berpendirian sikap dan tindakan membatalkan jemputan tersebut merupakan suatu langkah yang sama sekali bertentangan dengan semangat kongres serta konvensyen dan tradisi organisasi,” menurut kenyataan itu.

The Malaysian Insight semalam melaporkan Saifuddin berkata beliau tidak terlibat dengan urusan penyelenggaraan kongres AMK kerana ia diuruskan oleh sayap itu sendiri.

Katanya, terserah kepada AMK untuk menentukan siapa akan merasmikan kongresnya.

“Nama pun kongres Pemuda, maka Pemuda lah yang tentukan siapa yang mereka hendak jemput.

“Kiranya tiada kaitan dengan saya dan tidak termasuk dalam skop kerja setiausaha agung,” katanya.

Kongres AMK akan berlangsung pada 6 Disember ini di Melaka. – 13 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen