Tidak salah AMK jemput Wan Azizah rasmi kongres, kata Akmal


Ragananthini Vethasalam Diyana Ibrahim

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata isu siapa merasmikan kongres AMK tidak patut diperbesarkan kerana banyak lagi perkara penting lain harus diberi tumpuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2019.

TIADA apa salahnya untuk sayap Pemuda PKR menjemput Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan kongres tahunannya di Melaka awal Disember ini ekoran kedudukannya sebagai timbalan perdana menteri, kata ketuanya Akmal Nasir.

Isu siapa merasmikan kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) katanya, tidak patut diperbesarkan kerana banyak lagi perkara penting yang harus parti dan ahlinya beri tumpuan.

Malah, ia juga tidak wajar diheret sehingga ternampak menyentuh kepentingan peribadi.

“Tradisi memanggil timbalan presiden untuk rasmi perhimpunan saya rasa Umno pun buat begitu.

“Tapi untuk Umno, timbalan presiden juga merupakan timbalan perdana menteri. Dalam kes ini, Wan Azizah adalah timbalan perdana menteri, jadi apa salahnya,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen, hari ini.

Akmal menjelaskan keputusan sayap pemuda pimpinannya memecah tradisi tidak menjemput Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali untuk merasmikan kongresnya bulan depan.

Awal hari ini, 21 pimpinan AMK mengkritik Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa kononnya membatalkan jemputan kepada Azmin untuk merasmikan kongres sayap pemuda.

Semalam Saifuddin bagaimanapun sebenarnya berkata jemputan perasmi kongres sayap pemuda bukan urusan dan tugas setiausaha agung parti, sebaliknya sayap itu sendiri.

Mengulangi kenyataannya, Akmal berkata keputusan menjemput Dr Wan Azizah diputuskan dalam mesyuarat biro Pemuda pada 20 Oktober lalu.

Jelasnya lagi, kenyataan 21 pimpinan AMK itu sebenarnya tidak mewakili keseluruhan pandangan sayap itu. 

Pada masa sama Akmal enggan mengulas adakah 21 pimpinan AMK itu hadir dalam mesyuarat tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau akan mendedahkan senarai kehadiran anggota sayap itu dalam kongres tahunan mereka kelak untuk dinilai akar umbi.

“Untuk kongres kali ini kita nak lebih telus. Maksud saya kita perlu bergerak ke hadapan. 

“Jadi kita akan kongsikan senaraikan kehadrian dalam mesyuarat jadi akar umbi boleh pantau pemimpin mereka,” katanya. – 12 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen