BERSATU akan meminta Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu menjelaskan dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi parti esok mengenai kenyataan beliau “terkontang-kanting melawan DAP”, yang mencetuskan kontroversi semasa kempen pilihan raya kecil di Tanjung Piai dua hari lepas.
Penjelasan Faizal perlu bagi meredakan keadaan, kata Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya, selepas pemimpin Pakatan Harapan di Perak menyelar menteri besar itu.
Marzuki yakin kenyataan Faizal bukanlah berniat untuk menyerang DAP tetapi pengalaman peribadinya dalam mentadbir negeri.
“Kita akan bermesyuarat Isnin ini (esok) dalam Majlis Pimpinan Tertinggi dan di situ juga kita akan tanya apa yang beliau maksudkan (kenyataan terhadap DAP).
“Saya merasakan apa yang disampaikan adalah pengalaman beliau, ini bukan bererti menceritakan pengalaman, kita cari masalah (dengan DAP),” katanya pada sidang media di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang.
Dalam klip video sepanjang dua minit 47 saat yang dimuat naik ke media sosial, Faizal kelihatan berbincang dengan sekumpulan lelaki di Tanjung Piai tentang bagaimana beliau berdepan dengan DAP dalam beberapa isu termasuk tentang isu tanah orang Melayu.
“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.
“Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” katanya dalam rakaman itu.
Faizal juga berkata beliau sebenarnya baik dengan pemimpin Umno di Perak, malah tidak duduk bersama menteri PH pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Tanjung Piai sebaliknya bersama ahli dan pemimpin Umno.
Kenyataan itu mengundang kritikan daripada pemimpin DAP dan PKR termasuk, Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang menyifatkan Faizal tidak layak jadi menteri besar.
Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam reaksinya juga mahu Faizal memberi penjelasan tentang kenyataannya yang disifatkan tidak wajar datang daripada seorang kawan dalam PH.
Faizal mempertahankan kenyataannya diambil di luar konteks dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.
Mengulas lanjut, Marzuki berkata, Faizal akan memberi penjelasan kepada DAP.
Beliau juga beranggapan, isu kenyataan Faizal mengenai DAP tidak besar sehingga menjejaskan kempen PH di Tanjung Piai.
“Sebelum ini ada kenyataan yang sensitif dilontarkan bukan sahaja daripada Bersatu tapi rakan-rakan kita yang lain, seperti insiden Ronnie Liu (Adun DAP) baru-baru ini.
“Jadi semua ini kita akan cuba bendung dan kawal terutama pemimpin-pemimpin kita di peringkat negeri dan bahagian,” tambah beliau.
Bulan lepas, Bersatu dan DAP berbalas kenyataan selepas Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Ronnie Liu membidas pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan berkata PH masih boleh kekal sebagai kerajaan tanpa Bersatu. – 10 November, 2019.
Komen