Video tular mengenai DAP luar konteks sebenar, kata MB Perak 


Pengerusi Bersatu Perak Ahmad Faizal Azumu berkata perbualannya dengan penduduk berlaku selama 20 minit namun hanya kira-kira enam minit daripadanya telah disebarkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2019.

VIDEO tular perbualan Pengerusi Bersatu Perak Ahmad Faizal Azumu di Tanjung Piai mengenai DAP berada di luar konteks sebenar perbualan itu.

Menegaskan demikian, Menteri Besar Perak itu berkata perbualan semasa beliau turun berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai itu pada Khamis berlaku selama 20 minit namun hanya kira-kira enam minit daripadanya telah disebarkan.

“Video itu hanya memaparkan selama enam minit daripada 20 minit perbualan saya bersama penduduk di sana yang mana ia luar daripada konteks sebenar.

“Kita cuba menggambarkan tentang apa calon Pakatan Harapan (PH) untuk PRK Tanjung Piai, Karmaine Sardini pernah katakan sebelum ini, tetapi komen saya mengenai komponen parti dan rakan kabinet yang dibangkitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Ipoh hari ini. Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke majlis di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru itu.

Ahmad Faizal berkata perbualan itu merupakan cara beliau untuk menarik perhatian penduduk berkenaan supaya menyokong PH dan calon yang bertanding.

Dalam video itu, Ahmad Faizal dilihat memberitahu penduduk dan mengakui mengenai kepayahannya menjaga kepentingan Melayu dan Islam kerana didakwa tidak sealiran dengan kehendak sekutunya iaitu DAP.

Ahmad Faizal yang ketika itu bersama Karmaine dipercayai sedang berbual dengan penduduk di kawasan Tanjung Piai mengenai situasi di Perak. – Bernama, 9 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen