Guan Eng mahu MB Perak jelaskan kenyataan "terkontang-kanting lawan DAP"


Faizal semalam menjelaskan kenyataannya diambil di luar konteks dan tidak mencerminkan keadaan sebenar. Hari ini beliau mengulangi pendirian itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2019.

MENTERI Besar Perak Ahmad Faizal Azumu wajar menjelaskan letak duduk sebenar kenyataannya mendakwa beliau “terkontang-kanting” melawan parti itu di Perak, seperti yang tersebar dalam rakaman video yang tular semalam, kata DAP.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kenyataan Faizal itu tidak wajar kerana sebagai kawan dalam Pakatan Harapan (PH), beliau sebaliknya bercakap seperti lawan.

“Sekarang beliau harus mengambil langkah dan usaha untuk menebus balik apa yang berlaku supaya dapat memulihkan kesetiakawanan dalam kalangan PH, supaya tidak akan menjejaskan kestabilan dan juga perpaduan terutamanya dalam kerajaan negeri Perak.

“Sekiranya apa yang dicakap itu telah disunting untuk tujuan tertentu maka lebih baik beliau berikan satu penjelasan ,” katanya, seperti dipetik media, di Pulau Pinang.

Faizal semalam menjelaskan kenyataannya diambil di luar konteks dan tidak mencerminkan keadaan sebenar. Hari ini beliau mengulangi pendirian itu.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam reaksi awal semalam menyifatkan kenyataan Faizal adalah pandangan yang dibuat berdasarkan pengalaman peribadi dan tidak mencerminkan sikap PH.

Menurut Lim, PH tidak mahu episod ini memerangkap parti terjebak dalam naratif pembangkang.

“Apa yang dinyatakan itu memang sesuatu yang sukar untuk diterima kerana ia bukan sahaja tidak benar tetapi tidak berasas dan kenyataan yang tidak berasas itu akan menggegarkan PH.

“Khususnya yang datang dari kawan dan tidak seharusnya seorang kawan cakap seperti lawan,” kata Lim.

Naratif pembangkang yang dimaksudkan Lim ialah kempen pembangkang Umno dan PAS menggambarkan DAP menunggang PH tetapi pada masa sama komponen Barisan Nasional iaitu MCA menghebahkan kononnya DAP diperalatkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam rakaman video yang tular semalam, Faizal mendakwa beliau berseorang diri cuba mempertahankan kedudukan Islam dan Melayu di Perak.

“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.

“Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” katanya dalam rakaman itu, kepada sekumpulan pengundi di Tanjung Piai.

Faizal juga berkata beliau sebenarnya baik dengan pemimpin Umno di Perak, malah tidak duduk bersama menteri PH pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Tanjung Piai sebaliknya bersama ahli dan pemimpin Umno.

Susulan itu, DAP Perak menggesa Faizal meminta maaf kepada Majlis Presiden PH manakala PKR Perak menyifatkan beliau tidak layak jadi menteri besar. – 9 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen