AHMAD Faizal Azumu gagal menunjukkan teladan sebagai pemimpin Pakatan Harapan (PH), kata DAP Perak, selepas Menteri Besar Perak itu dirakam mengeluarkan kenyataan yang memperlekeh rakan komponen serta pemimpin parti.
DAP Perak kesal dengan kenyataan Faizal mengenai parti itu, seperti dalam rakaman tersebut yang tular di media sosial, semasa berkempen di Tanjung Piai, kata setiausahanya Wong Kah Woh.
“Tingkah laku Menteri Besar Perak yang bertindak mengikut rentak pembangkang gagal menunjukkan integriti yang wajib dipamer oleh seorang pemimpin, khususnya Pakatan Harapan.
“Saya menegaskan bahawa semangat kemuafakatan Pakatan Harapan harus didukung pada (setiap) masa dan Menteri Besar Perak selaku Pengerusi PH Perak seharusnya memimpin melalui teladan, bukan sebaliknya,” kata Wong dalam satu kenyataan.
Sebelum DAP, PKR Perak turut menyelar Faizal atas kenyataannya itu.
Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyifatkan dengan apa yang ditunjukkan oleh Faizal, beliau tidak layak untuk jadi Menteri Besar Perak.
Menurut Wong, apa yang Faizal lakukan itu bercanggah dengan semangat muafakat Pakatan Harapan.
“Kenyataan beliau yang mengangkat wakil-wakil pembangkang tetapi memperlekehkan sahabat dalam Pakatan Harapan adalah sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.
Beliau turut menggesa Faizal supaya meminta maaf kepada Majlis Presiden PH atas apa yang berlaku.
Dalam rakaman video yang tular hari ini, Faizal mendakwa beliau berseorang diri cuba mempertahankan kedudukan Islam dan Melayu di Perak.
“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.
“Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” katanya dalam rakaman itu, kepada sekumpulan pengundi di Tanjung Piai.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam reaksi segera menyifatkan kenyataan Faizal adalah pandangan yang dibuat berdasarkan pengalaman peribadi dan tidak mencerminkan sikap Pakatan Harapan.
Faizal dalam pada itu menafikan ada perselisihan antara beliau dengan DAP di Perak. Beliau juga mendakwa kenyataannya semasa dilihat berbual dengan pengundi di Tanjung Piai “diambil di luar konteks”. – 8 November, 2019.
Komen