PKR belum bincang permohonan Salleh Said Keruak, kata Anwar


Diyana Ibrahim Noel Achariam

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata perkara itu akan dibincangkan oleh Biro Politik Keadilan untuk dipertimbangkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2019.

PKR belum membincangkan lagi permohonan bekas menteri Barisan Nasional, Salleh Said Keruak untuk menyertai parti itu, kata presidennya Anwar Ibrahim.

Beliau mengesahkan parti ada menerima permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu untuk masuk PKR tetapi ia belum diputuskan lagi setakat ini.

“Biro Politik belum berbincang lagi mengenai permohonan Datuk Seri Salleh Said Keruak.

“Fahmi Fadzil (pengarah komunikasi) sudah buat kenyataan,” kata Anwar, pada sidang media majlis pimpinan Pakatan Harapan di Subang, petang ini.

Semalam, mengulas laporan The Malaysian Insight, Fahmi dalam satu kenyataan berkata biro politik akan berbincang dan menimbang permohonan Salleh.

“Berdasarkan rekod, saya difahamkan parti memang ada terima permohonan keanggotaan dari beliau secara dalam talian.

“Walau bagaimanapun, Biro Politik Keadilan akan membincangkan dan memberi pertimbangan kepada perkara ini dalam mesyuarat yang akan datang,” katanya, tanpa menyebut tarikh mesyuarat berkenaan.

Salleh, yang juga bekas ketua menteri Sabah, hari ini mengesahkan beliau ada memohon untuk menyertai PKR kerana ia sebuah parti berbilang kaum yang cocok dengan pegangan politiknya dan keadaan semasa di Sabah.

The Malaysian Insight semalam melaporkan permohonan Salleh untuk masuk PKR ditanda “lulus” pada sistem keahlian dalam talian parti.

Permohonan itu dibuat pada 25 Ogos lalu.

Semasa dalam kabinet Najib Razak, Salleh adalah antara yang kuat mendukung bekas perdana menteri itu semasa hebat dikritik berhubung skandal syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad.

Pada pilihan raya umum yang lalu, beliau bertanding kerusi Parlimen Kota Belud atas tiket Barisan Nasional tetapi kalah kepada anak saudaranya Isnaraissah Munirah Majilis dari Parti Warisan Sabah.

Tujuh bulan selepas BN tersingkir jadi kerajaan, Salleh bersama pimpinan Umno di Sabah bertindak keluar parti beramai-ramai. Sebahagian mereka menyertai Warisan dan ada yang menubuhkan Bersatu. – 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen