Penasihat ekonomi PM sokong dakwaan kemiskinan ‘tidak realistik’ PBB


Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri Dr Muhammed Abdul Khalid berkata PGK digunakan Malaysia tidak lagi sesuai dan negara perlu menggunakan unjuran digunakan negara maju untuk mengukur kemiskinan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2019.

TAHAP Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Malaysia tidak realistik kerana negara semakin berkembang maju sekarang dan wajar diukur berdasarkan petunjuk kemiskinan yang digunakan negara maju lain, kata Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri Dr Muhammed Abdul Khalid.

“Tidak dapat dinafikan bahawa kadar kemiskinan mutlak dapat diturunkan sejak merdeka, daripada hampir 50% kepada 0.4 peratus sekarang ini. Namun, ini adalah berdasarkan unjuran kemiskinan mutlak yang tidak lagi sepatutnya menjadi satu-satunya kayu ukur untuk kadar kemiskinan.

“Malaysia kini mahu menjadi negara maju maka unjuran yang harus dipakai mestilah bersandarkan indikator yang digunakan oleh negara maju,” katanya dalam satu kenyatan dikeluarkan hari ini. 

Muhammed merujuk kenyataan penafian dikeluarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali terhadap dakwaan Pelapor Khas Kemiskinan PBB Profesor Philip Alston bahawa Malaysia terkhilaf dalam penjumlahan orang miskin kerana menggunakan unjuran yang digunakan sejak 1970-an lagi.

“Untuk perbandingan, Palestin dan Zimbabwe, negara yang GDP per kapita hanyalah lebih kurang 1/10 dari Malaysia, mempunyai PGK yang lebih tinggi,” kata bekas pengarah Khazaha Research Institute itu.

PGK Malaysia ditetapkan pada pendapatan bulanan sebanyak RM980 untuk Semenanjung Malaysia, RM1,180 untuk Sabah dan RM1,020 untuk Sarawak.

Jika unjuran relatif kemiskinan digunkan, menurut Muhammad, satu daripada lima isi rumah Bumiputera dan satu daripada sepuluh isi rumah Cina boleh dianggap miskin.

“Malah, lebih teruk lagi, kajian UNICEF dan DM Analytics tahun lepas yang menggunakan konsep yang sama menunjukkan hampir kesemua kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah di Kuala Lumpur hidup di bawah tahap kemiskinan.

“Ini jauh sekali berbeza dengan konsep kemiskinan mutlak yang menunjukkan kadar kemiskinan di Kuala Lumpur adalah kosong peratus!” tambahnya merujuk kepada syarikat kajian yang diuruskannya DM Analytics.

Jelasnya lagi, sekiranya Malaysia menggunakan unjuran yang digunakan di negara maju, kadar kemiskinan Malaysia adalah sebanyak 16% pada 2016 dan 15.6% pada 2014.

Muhammed juga tidak bersetuju dengan data Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang mencadangkan kemiskinan sifar di Johor, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Minggu lepas, Azmin mempertahankan tindakan Malaysia menggunakan unjuran PGK semasa untuk mengukur kemiskinan selepas Altson berkata kadar kemiskinan sebanyak 0.4% dikeluarkan Putrajaya tidak “menggambarkan realiti di akar umbi”.

Walaupun begitu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata kerajaan akan mengkaji dakwaan itu.

PKR, parti Azmin, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat semalam turut mendesak kerajaan meneliti laporan PBB itu. – 27 Ogos, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen