LAPORAN “tidak realistik” Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kadar kemiskinan di Malaysia perlu dibincangkan dengan lebih mendalam supaya langkah-langkah ekonomi yang relevan dapat diambil untuk menangani masalah yang dihadapi golongan berpendapatan rendah, kata PKR.
Merujuk kepada kenyataan wakil khas PBB mengenai kadar kemiskinan yang melampau dan hak asasi manusia Profesor Philip Alston pada 23 Ogos lalu, pucuk pimpinan parti itu dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa lebih banyak dialog dan perbincangan harus diadakan mengenai perkara tersebut.
Dengan mengambil langkah perbincangan, kata mereka, ia akan membolehkan kerajaan Pakatan Harapan menggubal program bagi meningkatkan kesejahteraan ekonomi kumpulan berpendapatan rendah.
Majlis pimpinan pusat PKR berkata demikian selepas mesyuarat bulanannya hari ini, yang dipengerusikan presiden parti, Anwar Ibrahim.
Alston berkata pada hari Jumaat bahawa para sarjana tempatan dan luar negara percaya kadar kemiskinan negara yang realistik adalah antara 16% dan 20%.
“Dakwaan kerajaan bahawa kadar kemiskinan adalah 0.4% tidak menunjukkan realiti sebenar di lapangan,” kata Alston kepada wartawan dalam satu forum mengenai penemuan PBB tentang kadar kemiskinan di Malaysia. – 25 Ogos, 2019.
Komen