MASYARAKAT Orang Asli di bandar kecil Pantai berhampiran Seremban bimbang yang kehidupan mereka kini bakal terjejas akibat kematian misteri remaja Ireland, Nora Anne Quoirin.
Operasi mencari dan akhirnya membawa kepada penemuan mayat remaja berusia 15 tahun itu mendapat perhatian dunia dan masyarakat Orang Asli kini terfikir adakah insiden itu akan menyebabkan pelancong tidak lagi berkunjung.
Kebanyakan Orang Asli di situ bekerja separuh masa di sembilan eko-resort di kawasan itu.
Mereka ditemu bual The Malaysian Insight, dengan syarat nama dirahsiakan susulan polis dan majikan memberi amaran supaya tidak bercakap tentang kes itu.
Salah seorang yang bekerja di resort bersebelahan resort Dusun Pantai Hill di mana Nora dan keluarganya mendaftar masuk sebelum kehilangannya, berkata beliau tidak pasti adakah selepas ini akan ada lagi pelancong datang ke situ.
“Adanya resort di sini, kami dapat bekerja dan membantu keluarga. Kami bekerja untuk mereka sudah bertahun-tahun.
“Selain menjual buah dari hutan, kami juga dapat pendapatan sampingan untuk keluarga dengan bekerja di resort.
“Saya tidak pasti sama ada tempat ini akan penuh dengan pengunjung lagi atau tidak selepas ini. Berita insiden ini di seluruh dunia, bukan saja dalam negara. Ia mungkin menjejaskan kami tapi saya tidak tahu sejauh mana,” katanya yang sudah tiga tahun bekerja di resort itu.
Nora dan keluarganya tiba di Dusun Resort pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu. Nora didapati hilang pada keesokan paginya.
Mayatnya ditemui 2km dari resort itu pada Selasa, selepas 10 hari operasi mencarinya.
Seorang lagi lelaki Orang Asli yang bekerja sebagai pemandu arah “jungle trekking” berkata dia mungkin perlu mencari kerja lain.
“Pelancong akan takut untuk ke sini lagi. Sebelum ini ada juga orang yang sesat tetapi mereka berjaya diselamatkan. Kami ini, ia berbeza.
“Harapnya keadaan akan jadi lebih baik tetapi jika tidak, saya perlu cari kerja lain,” katanya.

Orang Asli di kawasan itu daripada suku Temuan dan tinggal di penempatan di Kampung Air Kolam.
Terdapat kira-kira 100 penempatan Orang Asli di kawasan itu yang terletak di pinggir bandar Pantai, dengan populasi 4,000.
Seorang wanita warga emas dari masyarakat berkenaan berkata, kebanyakan anak-anak mereka bekerja di resort itu kerana gagal mendapatkan pekerjaan di Seremban.
“Bukan senang untuk kami bekerja di bandar. Kebanyakan anak muda di sini tak habis sekolah. Mereka lebih memilih untuk bekerja daripada belajar.
“Kebanyakan mereka bekerja di resort di sini. Mereka suka bekerja di sana selain dapat wang tambahan dengan menjual buah-buahan dan sayur-sayuran.
“Buat masa ini, kami tidak pasti. Kami juga menunggu apa yang akan berlaku. Adakah tempat ini akan menarik orang ramai, hanya masa yang akan tentukan,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Vijay berkata, insiden seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini di kawasan berkenaan walaupun ramai pendaki tersesat di kawasan hutan Jeram Toi.
“Saya sudah tinggal di sini sejak bertahun dulu dan saya sendiri merentas hutan. Terdapat banyak kes pendaki sesat di hutan namun mereka ditemui dan diselamatkan.

“Ini merupakan kali pertama seseorang ditemui mati di kawasan ini. Mertua saya yang berasal dari sini tidak pernah berdepan insiden seperti ini.
“Kami bersimpati dengan keluarga berkenaan kerana ini adalah kali pertama mereka ke sini. Ia tak sepatutnya berakhir begini,” kata pemandu teksi berusia 53 tahun itu.
Vijay merasakan Nora diumpan keluar dari biliknya tetapi menambah kes ini masih lagi misteri.
“Dari apa yang saya baca, tiada bukti menunjukkan dia diumpan, tetapi bagaimana dia boleh keluar dari vilanya jika tidak dibawa oleh sesiapa. Mesti ada yang terlibat, tetapi itu hanyalah andaian saya sahaja,” katanya.
Tambahnya, sejak 10 tahun lalu, resort Dusun Pantai Hill merupakan destinasi popular pelancong dari seluruh dunia.
“Pada hujung minggu, tempat ini dipenuhi pengunjung. Tempatan dan luar negara, namun kebanyakannya adalah dari Jepun, Eropah, Amerika dan tempat lain.
“Tiada masalah pun sebelum ini dan semua orang sukakan tempat ini kerana sumber semula jadi dan pemandangannya,” katanya. – 17 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen