Kes Nora Anne, Perancis ucap terima kasih pada Malaysia


Nora Quoirin hilang di resort The Dusun di Negeri Sembilan pada 4 Ogos dan mayatnya ditemui 10 hari kemudian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2019.

PERANCIS merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas usaha tanpa henti pihak berkuasa negara ini untuk mengesan remaja Ireland Nora Anne Quoirin yang hilang semasa sedang bercuti di Malaysia.

Menteri Hal Ehwal Luar dan Eropah, Jean-Baptiste Lemoyne menyampaikan penghargaan itu menerusi panggilan telefon semalam kepada Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya, menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini.

“Marzuki turut menyampaikan kepada Lemoyne simpati dan takziah Malaysia atas kematian Nora Anne,” menurut kenyataan itu.

Mayat Nora Anne, remaja berkeperluan khas berumur 15 tahun, ditemui pada tengah hari Selasa kira-kira 2km dari resort The Dusun, tempat di mana dia dan keluarga menginap selepas mereka mendaftar masuk pada 3 Ogos untuk bercuti selama dua minggu.

Operasi mencari dan menyelamat besar-besaran dilancarkan susulan kehilangan gadis itu pada 4 Ogos, membabitkan agensi termasuk polis, tentera, anggota bomba dan penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam di samping Orang Asli serta pendaki sukarelawan.

Polis Perancis, Ireland dan Britain turut membantu polis Malaysia dalam siasatan kes itu.

Bapa Nora Anne, Sebastien Marie Philipe adalah warga Perancis manakala ibunya, Meabh Jaseprine Quoirin pula rakyat Ireland. – Bernama, 16 Ogos, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen