Malaysia tak cuai jaga keselamatan pelancong, kata menteri


Diyana Ibrahim

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi yakin beberapa peristiwa melibatkan kematian pelancong asing di Malaysia tidak menjejaskan kedatangan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2019.

DUA kes kemalangan terbaru melibatkan pelancong asing tidak menunjukkan Malaysia cuai dalam menjaga keselamatan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Mohammadin Ketapi.

Katanya, kes kemalangan seperti yang melibatkan kematian remaja Ireland Nora Anne Quoirin itu boleh berlaku di mana-mana negara dan bukan hanya di Malaysia.

“Sebetulnya kemalangan sering berlaku di mana-mana bukan bermaksud kita leka atau kurang penyediaan dalam keselamatan pelancong.

“Semua negara menyediakan keselamatan pelancong tapi insiden berlaku di mana-mana (negara).

“Kita tidak boleh kata, ‘anda datanglah ke Malaysia, tiada apa-apa yang akan berlaku ke atas anda’,” katanya kepada pemberita hari ini di Kuala Lumpur.

Beliau bagaimanapun tetap yakin kes berkenaan tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong luar negara ke Malaysia.

“Kita melihat perkara yang berlaku tidak akan jejas pelancong datang ke Malaysia. Dan sudah tentu kita tak dapat bagi jaminan (semua pelancong) panjang umur dan selamat,” katanya.

Ditanya sekiranya kerajaan kementerian akan mewajibkan premis pelancongan memasang kamera litar tertutup, Mohammadin berkata perkara itu berada di bawah tanggungjawab pemilik.

“Perkara ini ikut akal budi, kalau anda buat tempat penginapan dan orang nak menginap di tempat anda, jadi anda kena pasanglah.

“Tak perlu tunggu kerajaan (arahkan), kalau anda tak buat kiranya anda cuai dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau ditanya demikian kerana kehilangan gadis Ireland itu tidak dapat dikesan pada peringkat awal kerana resort di Negeri Sembilan itu tidak dilengkapi kamera litar tertutup.

Sementara itu ketua setiausahanya Isham Ishak berkata kementerian tidak mempunyai bidang kuasa bagi mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup dipasang di semua premis penginapan.

Sebaliknya, perkara itu terletak bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Namun kita sudah mengarahkan semua pengarah negeri untuk siasat akan hal tersebut.

“Tapi kalau anda tanya adakah kementerian pelancongan sebenarnya kita tak punya kuasa,” katanya.

Mayat Nora, 15, ditemui di kawasan hutan di Pantai, Seremban Negeri Sembilan pada hari Selasa, sembilan hari selepas dilaporkan hilang dari sebuah resort.

Satu lagi kes melibatkan dua warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika berkayak di perairan Terengganu. Mayat salah seorang daripadanya sudahpun ditemui semalam. – 15 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen