SIASATAN jenayah oleh pihak berkuasa Perancis terhadap kematian Nora Anne Quoirin adalah amalan standard bagi kes luar negara membabitkan warga Perancis, kata Lucie Blackman Trust dalam satu kenyataan bagi pihak keluarga itu hari ini.
“Siasatan yang sedang dijalankan di Perancis akan diteruskan kerana ia amalan standard bagi kes luar negara membabitkan rakyat Perancis. Sementara siasatan berjalan, kami minta spekulasi umum dihentikan,” katanya.
Katanya, keluarga itu masih menerima sebarang maklumat daripada masyarakat umum yang dapat membantu memberi pencerahan tentang kehilangan Nora pada 4 Ogos dan membawa kepada kematiannya.
Kenyataan itu berkata talian polis masih dibuka untuk orang ramai yang ada maklumat berkaitan.
Katanya, keluarga itu akan membawa pulang mayat Nora di mana remaja itu akan disemadikan tetapi tidak memperincikan bila ia akan dilaksanakan.
Pada Selasa, mayat Nora ditemui berhampiran lurah di dalam hutan, kira-kira 2km dari resort The Dusun di mana beliau dan keluarganya mendaftar masuk sehari sebelum itu untuk bercuti.
Polis semalam berkata laporan bedah siasat mendapati remaja itu meninggal dunia kerana ususnya bocor akibat kebuluran, dan menolak sebarang unsur jenayah dan khianat.
Reuters kemudian melaporkan pejabat pendakwa raya Paris membuat siasatan jenayah berhubung kematian Nora.
Bapa Nora ialah warga Perancis sementara ibunya dari Ireland. – 16 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen