DR Mahathir Mohamad memberi jaminan akan mendapatkan pandangan daripada pengkritiknya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan atau mengeluarkan kenyataan.
Perdana menteri menyatakan demikian secara sinis bagi mengulas amaran pemimpin DAP yang mendakwa bidang kuasanya terlalu luas dan boleh menjejaskan Pakatan Harapan (PH).
Pemimpin berkenaan, Ahli Parlimen Klang, Charles DAP semalam mendakwa Dr Mahathir membuat banyak keputusan sendiri walaupun mewakili parti minoriti dalam pakatan pemerintah.
Mengulas perkara itu, Dr Mahathir berkata beliau hanya akan membuat keputusan selepas mendapatkan pandangan wakil rakyat DAP itu.
“Masa depan (nanti) apabila saya nak buat keputusan saya hanya boleh (minta pandangan) Santiago, bersetuju atau tidak. Saya tak buat.
“Oh saya dapatkanlah pandangan dia. Dia setaraf dengan saya,” ujar beliau ketika ditanya pemberita di Langkawi hari ini.
Santiago dalam satu kenyataan hari ini berkata, proses membuat keputusan perlu dilucutkan daripada perdana menteri dan dikongsi secara bersama Majlis Presiden PH.
“Sekarang, nampaknya terlalu banyak kuasa dalam tangan perdana menteri, jadi kuasa ini perlu dikongsi secara saksama antara semua parti komponen,” katanya.
Beliau memberi contoh isu tulisan khat yang menjadi perdebatan panjang dan kegagalan PH melunaskan janji seperti perjanjian ICERD, Statut Rom dan lesen loji Lynas Corp.
Penjelasan Dr Mahathir mengenai status Lynas Corp itu juga mendapat kritikan Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu
Mengulas perkara itu, Dr Mahathir juga akan mendapatkan pandangan daripada wakil rakyat DAP itu.
“Itu pendapat saya. Pendapat dia kalau halau Lynas akan ramai pelabur asing datang.
“Saya punya pendapat lain lah. Saya tak tanya dia. Patutnya saya tanya dia dulu sebelum saya cakap,” jelas beliau.
Dr Mahathir dalam kenyataan di Jepun minggu lalu berkata, Malaysia tidak boleh menghalau Lynas setelah menjemput syarikat perlombongan nadir bumi itu melabur di negara ini.
Jelasnya ia tidak dapat dibuat hanya kerana terdapat pihak yang tidak mahu menerima kajian pakar.
Isu mengenai pendirian ke atas loji Lynas berkenaan difahamkan akan dibincangkan DAP bersama semua wakil rakyatnya esok
Mesyuarat itu diadakan sehari sebelum mesyuarat kabinet pada Rabu.
Sebelum pilihan raya umum pada 9 Mei tahun lalu, DAP dan PKR merupakan antara parti yang membantah keras operasi Lynas di Gebeng, Pahang.
Pemimpin parti itu mendakwa, sisa radioaktif yang tersisa dari pusat penapisan itu boleh menjejaskan air bawah tanah di Pahang.
Keputusan kerajaan mengenai operasi Lynas dijangkan akan diumumkan pada 15 Ogos. – 12 Ogos, 2019.
Komen