Isu Lynas berlarutan, DAP bermesyuarat Selasa depan


DIKECAM untuk beberapa minggu dalam pelbagai isu, DAP kini mengambil langkah bertemu dengan semua wakil rakyatnya pada 13 Ogos depan bagi bermesyuarat membincangkan isu Lynas, kata sumber parti.

Ahli Parlimen Pahang yang tidak mahu The Malaysian Insight mendedahkan namanya berkata bahawa mereka akan bertemu sebelum mesyuarat Kabinet pada hari Rabu (14 Ogos).

Mesyuarat tersebut adalah kali kedua setelah beberapa minggu DAP berdepan pelbagai kecaman dalam beberapa isu termasuk pengenalan khat dalam sukatan pendidikan di sekolah rendah. DAP dikatakan akan mengumpulkan maklum balas daripada penggubal undang-undang mengenai isu-is kontroversi yang berbangkit sebelum ini.

Sebelum pilihan raya umum pada 9 Mei tahun lalu, DAP dan PKR adalah dua parti yang membantah keras Lynas yang beroperasi di Gebeng, Pahang.

Mereka mendakwa bahawa sisa-sisa radioaktif yang tersisa dari pusat penapisan itu boleh menjejaskan air bawah tanah di Pahang.

Kedua-dua parti itu mahu Lynas memulangkan semula bahan buangan kimia ke Australia jika mahu terus beroperasi di Malaysia. 

Bagaimanapun, tuntutan tersebut masih tidak menemui jalan keluar apabila kerajaan Australia enggan menerima 450,000 tan sisa buangan kimia yang terkumpul di pusat penapisan Lynas di Malaysia.

Pada 25 Mac, Pengurus Besar Keselamatan Radiasi Lynas Malaysia, Prof. Dr Ismail Bahari berkata tiada asas terhadap dakwaan yang mengatakan loji itu boleh menyebabkan pencemaran sisa kimia.

Sementara itu, sumber kerajaan mengatakan bahawa Kabinet dijangka memutuskan sama ada ia akan memperbaharui lesen operasi Lynas pada hari Rabu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin juga turut berkata kerajaan akan mengumumkan keputusannya mengenai Lynas pada 15 Ogos depan.

Beliau memberitahu pemberita bahawa Lynas telah memohon untuk memperbaharui lesen operasi mereka yang akan luput pada 2 September depan. – 11 Ogos, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen