WAKIL rakyat DAP Charles Santiago memberikan amaran yang kuasa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang terlalu luas boleh menjejaskan Pakatan Harapan,
Tambahnya, proses membuat keputusan perlu dilucutkan daripada perdana menteri dan dikongsi secara bersama Majlis Presiden PH.
Katanya lagi, Dr Mahathir membuat banyak keputusan sendiri untuk rakyat walaupun mewakili parti yang dianggap minoriti dalam pakatan pemerintah.
“Sekarang, nampaknya terlalu banyak kuasa dalam tangan perdana menteri, jadi kuasa ini perlu dikongsi secara saksama antara semua parti komponen,” kata ahli Parlimen Klang itu dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Dr Mahathir sepatutnya sudah tahu membaca “perasaan” rakyat.
“Dan dia perlu faham yang keputusan sembarangan, tanpa rundingan, tidak akan membawanya jauh,” katanya.
Menurutnya lagi, proses membuat keputusan perlu disemak pada peringkat Majlis Presiden PH terutama isu kontroversi kaum dan agama.
Memetik kontroversi terbaru melibatkan pengenalan tulisan khat Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia Tahun 4, Santiago berkata Dr Mahathir dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik patutnya menyedari sensitiviti isu itu sebelum mengumumkannya.
Jelasnya, terlalu banyak masa dibazirkan memperdebatkan isu khat itu sedangkan kerajaan perlu memberi tumpuan kepada isu ekonomi.
“Jadi, pengenalan khat boleh tunggu. Dan kita boleh habiskan masa 14 hari lepas membincangkan kebimbangan lain yang dihadapi pelajar dan negara kita.”
Santiago juga membangkitkan kegagalan PH melunaskan janji apabila membatalkan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dan Statue Rom serta kemungkinan memperbaharui lesen operasi Lynas.
Katanya, semua isu itu menyebabkan kerajaan mempunyai rekod buruk dan boleh menjejaskan keyakinan rakyat.
“Rakyat marah dan mengancam akan menyingkirkan kita dalam pilihan raya umum akan datang. Dan saya faham kemarahan mereka.”
Beliau juga mengingatkan kerajaan yang menyingkirkan bekas perdana menteri Najib Razak itu supaya tidak menjadi sepertinya.
“Kita tak boleh singkir bekas perdana menteri Najib Razak, hanya untuk jadi sepertinya.” – 12 Ogos, 2019.
Komen