BEKAS setiausaha akhbar Anwar Ibrahim, Khalid Jaafar adalah antara ahli PKR yang bakal menerima surat peringatan dan nasihat supaya menjaga tingkah laku demi perpaduan parti, kata sumber.
The Malaysian Insight difahamkan, Khalid akan ditegur kerana beberapa tulisannya di Facebook sejak kebelakangan ini yang mempersoalkan kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai presiden parti dan calon perdana menteri.
“Dalam mesyuarat malam tadi ada tiga nama yang naik, salah satunya Khalid Jaafar,” kata sumber yang maklum butir perbincangan mesyuarat mingguan biro itu di Petaling Jaya, malam semalam.
Lembaga Disiplin PKR dalam kenyataan malam semalam hanya menyebut dua nama iaitu Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga setiausaha politik kepada Anwar, serta “beberapa orang yang lain.”
“Mereka juga akan diminta supaya memberi penjelasan atas beberapa kenyataan bersifat kontroversi yang telah mereka keluarkan,” kata lembaga disiplin PKR.
Khalid yang dihubungi The Malaysian Insight enggan mengulas lanjut selagi tidak menerima sebarang surat dari lembaga disiplin.
Khalid adalah setiausaha akhbar kepada Anwar semasa bekas timbalan perdana menteri itu dalam kerajaan Dr Mahathir Mohamad sebelum pemecatannya pada 2 September 1998.
Khalid kini penasihat kepada Mohamed Azmin Ali di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
Beliau juga pernah menjadi pegawai kanan Azmin semasa menerajui Selangor sebagai menteri besar.

Dalam tulisan terbarunya semalam, Khalid mempersoalkan kewajaran Anwar jadi calon perdana menteri ketika beliau gagal menunjukkan kepimpinan dan mengawal partinya sendiri.
Tulisan itu menyusul tidak sampai seminggu selepas Khalid menyarankan agar Anwar bersara saja dari politik.
Dengan menggunakan analogi permainan dam ular, Khalid berkata Anwar sudah hampir sampai ke garis penamat tetapi ditelan ular dan jatuh semula ke garis mula permainan.
“Umur sudah lanjut, perjalanan kembali jauh. Seeloknya Anwar Ibrahim bersara sahajalah dari politik,” kata Khalid.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin juga hanya akan mengulas kenyataan lembaga disiplin setelah menerima surat yang dimaksudkan.
“Surat belum datang tidak boleh beri maklum balas. Kalau surat dalam bentuk pantun, saya jawab dalam bentuk pantun.
“Kalau surat ajak saya main bola, saya main bola. Tidak perlu buat spekulasi dan sebagai ahli parti, saya akan cuba penuhi kehendak parti,” katanya, seperti portal Selangorkini.
Farhash hari ini mempertahankan kenyataannya yang jadi kontroversi menggelar Azmin seorang homoseksual dan mencabar polis menahan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, sama seperti mereka menahannya minggu lalu.

Farhash dibebaskan oleh polis pada Rabu selepas ditahan reman selepas seminggu untuk siasatan berhubung penyebaran rakaman seks dua lelaki yang dikaitkan dengan Azmin.
PKR kini dilihat dalam krisis susulan penyebaran rakaman seks dua lelaki lebih sebulan lalu yang kemudian dikaitkan dengan menteri kabinet itu.
Bekas ahli PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku beliaulah lelaki dalam rakaman itu dan menuduh Azmin sebagai pasangan intimnya.
Azmin menafikan tuduhan dan menegaskan ia perancangan jahat untuk menghancurkan masa depan politiknya.
Minggu lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan siasatan polis setakat ini mendapati rakaman seks itu tulen namun analisis ke atas video sukar menentukan identiti pelakunya. – 25 Julai, 2019.
Komen