PKR keluar amaran kepada Farhash, Amirudin


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak antara yang diberi amaran oleh lembaga disiplin PKR kerana mengeluarkan kenyataan bersifat serangan peribadi kepada individu tertentu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2019.

LEMBAGA disiplin PKR telah mengeluarkan amaran kepada beberapa ahli parti setelah menerima aduan mengenai kenyataan dan tulisan bersifat serangan peribadi kepada individu-individu tertentu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor Amirudinn Shari antara yang diberi amaran oleh lembaga disiplin.

Dalam satu kenyataan hari ini, lembaga itu mendedahkan telah menerima banyak aduan mengenai ahli-ahlinya termasuk pemimpin parti yang telah membuat kenyataan peribadi dengan niat menyerang individu tertentu.  

Kenyataan itu dipercayai dikaitkan dengan skandal video seks melibatkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang menafikan dirinya salah seorang dalam klip video berkenaan.

Bekas Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku beliau adalah lelaki dalam rakaman seks itu.

“Selaras dengan Resolusi Majlis Pemukiman Pimpinan Keadilan yang berlangsung di Port Dickson baru-baru ini, Lembaga Disiplin akan berusaha memperkukuhkan disiplin dan perpaduan parti dengan menggalakkan usaha-usaha perdamaian dan meredakan pertikaian,” katanya.

Menurutnya, atas nasihat biro politik PKR, lembaga telah mengeluarkan amaran kepada Farhash, Amirudin dan beberapa ahli lain.

“Mereka diminta memberi penjelasan mengenai kenyataan yang dibuat mengenai isu itu,” katanya.

Lembaga itu menambah, mereka berhak mengambil tindakan berdasarkan tatacara disiplin parti sekiranya peringatan yang diberikan tidak mendapat respon positif daripada pihak-pihak terlibat. – 25 Julai, 2019

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen