PENGERUSI PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mempertahankan pendirian mahu polis berlaku adil dalam siasatan kes rakaman seks melibatkan dua lelaki yang dikaitkan dengan timbalan presiden partinya, Mohamed Azmin Ali.
Beliau tetap dengan pendiriannya selepas mencetuskan kontroversi menggelar Azmin seorang homoseksual dan mencabar polis menahan menteri hal ehwal ekonomi itu, sama seperti mereka menahannya minggu lalu.
Katanya, beliau bertanggungjawab penuh atas apa yang beliau ucapkan dan tidak mahu media mengaitkannya dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
“Media tidak perlu heret Anwar (dalam perkara ini) atas apa yang saya katakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Farhash yang juga setiausaha politik Anwar ditahan polis di Johor pada 16 Julai lalu dan direman sehingga semalam.
“Saya mungkin setiausaha politik beliau, tetapi perlu diingat yang hak saya sebagai rakyat Malaysia telah terjejas.
“Saya hanya mahu Ketua Polis Negara (Abdul Hamid Bador) bersikap profesional dan memberikan layanan yang sama kepada semua pihak yang terlibat dalam siasatan,” tambahnya.
Hamid semalam mempertahankan pihak polis yang katanya bertindak mengikut undang-undang apabila menahan Farhash.
Katanya, Farhash ditahan kerana beliau diperlukan oleh pasukan penyiasat Polis Di-Raja Malaysia, yang berhak memanggil atau menahan mana-mana individu untuk tujuan itu.
“Saya tidak akan memberi satu laluan sesuka hati (kepada polis) di mana mereka bertindak sesuka hati atau menganiaya orang.
“Saya tidak melihat penahanan ini tidak adil,” katanya.
Berhubung gesaan Farhash untuk menahan Azmin, Hamid berkata beliau menyerahkan perkara itu untuk ditentukan oleh Peguam Negara Tommy Thomas.
Farhash melaungkan “Azmin semburit” semasa menutup ucapan ringkas kepada penyokongnya selepas dibebaskan daripada reman, kelmarin.
“Semburit”, mengikut Kamus Dewan, bermaksud persetubuhan sesama lelaki.
Azmin berulang kali menafikan dirinya salah seorang lelaki dalam rakaman seks yang tersebar hampir enam minggu lalu.
Bekas ahli PKR Haziq Abdullah Abdul Aziz. Haziq, yang ketika itu ketua Pemuda PKR Santubong, membuat pengakuan beliau adalah lelaki dalam rakaman tersebut dan pasangannya adalah Azmin.
Semalam, seorang ahli PKR Selangor membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin parti untuk mengambil tindakan ke atas Farhash kerana menggelar Azmin seorang homoseks.
Bekas pengerusi penerangan PKR Selangor K. Gunasekaran, yang diiringi empat penyokongnya, berkata Farhash tidak sepatutnya membuat sebarang kenyataan yang tidak menghormati timbalan presiden dan parti.
“Polis sudah menyatakan Azmin tidak dikenal pasti sebagai individu dalam video berkenaan. Apabila beliau laung ‘Azmin semburit’, ia satu kesalahan.
“Beliau menunjukkan tidak hormat kepada Azmin atau parti,” kata Gunasekaran di ibu pejabat PKR, semalam.
Farhash merupakan antara 11 individu yang ditahan untuk siasatan kes rakaman seks itu.
Haziq juga dibebaskan kelmarin bersama seorang lagi individu yang tidak dikenal pasti identitinya. – 25 Julai, 2019.
Komen