Tidak wajar pertikai polis siasat Farhash, kata Hamid Bador


Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata siasatan dan penahanan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dibuat mengikut undang-undang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Julai, 2019.

TIDAK wajar bagi mana-mana pihak mempersoalkan tindakan polis menahan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk membantu siasatan kes penyebaran video seks yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin Ali, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata siasatan dan penahanan Farhash dibuat mengikut undang-undang.

Katanya, Farhash ditahan kerana beliau diperlukan oleh pasukan penyiasat Polis Di-Raja Malaysia, yang berhak memanggil atau menahan mana-mana individu untuk tujuan itu. 

“Saya tidak akan memberi satu laluan sesuka hati (kepada polis) di mana mereka bertindak sesuka hati atau menganiaya orang. 

“Saya tidak melihat penahanan ini tidak adil,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Farhash yang juga setiausaha politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim semalam yang mempertikaikan penahanan remannya berkaitan kes rakaman seks dua lelaki itu.

Menurut Hamid, dakwaan itu satu tuduhan politik dan pihak polis tidak mahu terlibat dengan polemik politik.

“Ini semua tuduhan politik dan saya tidak mahu terlibat dengan polemik politik mana-mana pihak baik dalam kerajaan atau di sebelah sana,” katanya.

Hamid baru-baru ini berkata pihaknya tidak mahu diheret sama ke dalam masalah politik dan polis sudah membuang banyak masa menyiasat kes itu kerana ia bermotifkan politik.

Dalam pada itu, Hamid sekali lagi menggesa semua pihak memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan kes. 

Katanya, semua aspek kes itu masih dalam siasatan dan pihaknya tidak akan membuat keputusan dengan terburu-buru. 

“Saya tidak cakap siasatan sedia ada muktamad kerana ia masih berjalan… setiap tindakan perlu dilakukan mengikut langkah demi langkah tanpa tekanan sesiapa,” katanya. 

Beliau berkata kertas siasatan yang lengkap nanti akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut. 

Media sebelum ini memetik Hamid berkata kertas siasatan sudah dua kali diserahkan kepada Pejabat peguam Negara tetapi dipulangkan semula untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Hamid mendedahkan beliau sudah membuat satu laporan polis terhadap Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam yang menuduhnya seorang ‘penipu’ terkait siasatan kes penyebaran video seks tersebut.

Katanya, tuduhan itu sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Semua pihak boleh mengeluarkan apa sahaja kenyataan berhubung isu ini tetapi saya tidak dapat menerima tuduhan mengatakan sebagai ketua polis negara menipu,” kata beliau.

Minggu lalu, Hamid mengumumkan siasatan polis setakat ini mendapati rakaman seks itu tulen namun analisis ke atas video sukar menentukan identiti pelakunya. – 24 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen