BEKAS pegawai kanan Anwar Ibrahim mempersoalkan wajar atau tidak presiden PKR itu jadi calon perdana menteri ketika beliau gagal menunjukkan kepimpinan dan mengawal partinya sendiri.
Bekas setiausaha akhbar Anwar, Khalid Jaafar bertanya, kalau sebagai presiden pun Anwar tidak boleh menjaga kestabilan PKR, bolehkah beliau memastikan kestabilan Malaysia kalau jadi perdana menteri.
Dalam tulisan di Facebook yang memetik kisah klasik Cina, Hikayat Tiga Kerajaan dan membandingkannya dengan perjalanan politik Anwar, Khalid melontarkan soalan adilkah untuk rakyat Malaysia kalau Anwar jadi perdana menteri.
“Persoalan paling agung di hadapan rakyat Malaysia pada hari ini, apakah Anwar sebagai sebagai orang yang gemar kepada ketidakstabilan, sendiri mencipta kacau bilau dalam parti dan dilihat tidak dapat berlaku adil kepada semua ahli parti berupaya untuk mempertahankan kestabilan dan ketenteraman negara serta memberi keadilan kepada semua?
“Akan tetapi sudah ada janji. Janji mesti ditepati. Tetapi adakah dengan menepati janji tersebut akan menepati keadilan?” katanya dalam satu tulisan di Facebook hari ini.
Menurut Khalid, persoalan itu perlu direnung oleh rakyat Malaysia khususnya ahli dan pemimpin PKR “yang mengambil ‘Keadilan’ sebagai namanya”.
Untuk menghuraikan maksud “keadilan”, Khalid memetik ahli falsafah Yunani, Plato mengenai wajar atau tidak mengembalikan pisau yang dipinjam kepada tuannya yang sekarang sudah gila.
Menurut Plato, dalam keadaan begitu, memulang pisau seperti perjanjian bukan lagi sesuatu yang adil.
“Rakyat Malaysia memerlukan keadilan. Kita renungkanlah!,” kata Khalid.
Tulisan ini menyusul tidak sampai seminggu selepas Khalid menyarankan agar Anwar bersara saja daripada politik.
Khalid adalah setiausaha akhbar kepada Anwar semasa bekas timbalan perdana menteri itu dalam kerajaan Dr Mahathir Mohamad sebelum pemecatannya pada 2 September 1998.
PKR kini terbelenggu dalam kemelut kepimpinan susulan penyebaran rakaman seks dua lelaki yang dikaitkan dengan timbalan presiden parti Mohamed Azmin Ali.
Azmin keras menafikan tuduhan dan menyifatkannya sebagai perancangan jahat untuk memusnahkan masa depan politiknya.
Siasatan polis juga mengesahkan penyebaran rakaman seks itu bermotifkan politik untuk menjatuhkan seseorang, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Polis sudah menahan 11 orang termasuk setiausaha politik kepada Anwar, Farhash Wafa Salvador Farhash Rizal Mubarak yang dibebaskan semalam selepas direman lapan hari.
Bekas ahli PKR Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku beliau individu dalam rakaman seks itu dan Azmin pasangan intimnya juga dibebaskan semalam.
Semalam juga, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mahu diperalatkan untuk tujuan politik, terkait dengan penyebaran rakaman seks itu – 24 Julai, 2019.
Komen