MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan sembilan lagi responden dalam saman lucut hak wang yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengemukakan afidavit kenapa tindakan itu tidak boleh diambil terhadap mereka.
Hakim Collin Sequerah Lawrence menetapkan afidavit itu difailkan sebelum 4 September ini.
Beliau turut mengarahkan notis saman itu diwartakan pada tarikh yang sama, bagi menuntut semula lebih RM26.2 juta daripada semua sembilan responden.
Mereka adalah antara 41 pihak yang didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima wang keseluruhan RM270 juta dari Najib Razak yang dikatakan diseleweng daripada 1MDB.
Empat responden bagaimana membantah tindakan saman tersebut dan memaklumkan mahkamah mereka akan memberi keterangan bersumpah dan bukan menjawabnya melalui afidavit.
Empat responden itu ialah Jakel Trading, Bustari Yusof, Media Edge CIA (M) Sdn Bhd and Yayasan PBAKM.
Sequerah menetapkan bantahan didengar pada 30 September.
Pada 21 Jun lalu, SPRM mengemukakan permohonan di mahkamah menuntut wang yang diterima oleh 41 pihak itu daripada Najib.
Tindakan sivil oleh SPRM dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla) bagi mendapatkan wang berjumlah RM270 juta.
Antara yang terlibat ialah ibu pejabat Umno dan enam pejabat Umno negeri iaitu Kelantan, Selangor, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah, serta dua Umno bahagian iaitu Pekan dan Johor Bahru.
Najib sebelum ini mengulangi penafian menyelweng duit 1MDB dan menegaskan duit yang dituntut oleh SPRM ialah sumbangan daripada putera Arab Saudi.
Jakel sebelum ini menjelaskan duit yang diterimanya dari Najib adalah bayaran pembelian jubah untuk sedekah dan sumbangan amal bekas perdana menteri itu kepada imam di seluruh Malaysia.
SPRM juga sebelum ini menjelaskan bukan hanya 41 pihak itu saja yang terlibat namun mereka tidak dapat didedahkan identitinya sekarang kerana siasatan masih berjalan. – 4 Julai, 2019.
Komen