Duit Najib untuk bayar beli jubah, kata Jakel


Jakel dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya telah menyerahkan semua dokumen sah berkaitan dengan urus niaga terbabit kepada pihak SPRM.– Gambar Youtube, 22 Jun, 2019

DUIT daripada Najib Razak kepada Jakel Trading dan Jakel Trading Sdn Bhd adalah bagi urus niaga jual beli yang sah, dan bukannya pengubahan wang haram, kata syarikat tekstil itu.

Jakel menafikan ia terlibat dengan pengubahan wang haram, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyenaraikan 41 pihak yang didakwa menerima duit terkait dana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Jakel telah menyerahkan semua dokumen sah berkaitan dengan urus niaga terbabit kepada pihak SPRM,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM semalam mengumumkan tindakan saman sivil melucutkan hak 41 individu, parti politik, pertubuhan dan syarikat ke atas dana berjumlah keseluruhan RM270 juta.

Wang itu didakwa disonglap oleh Najib dari 1MDB.

Semalam, Najib mengulangi penafiannya bahawa duit yang masuk ke akaunnya bukan dari 1MDB tetapi sumbangan putera Arab.

Wang kepada Jakel itu pula bayaran kepada syarikat itu untuk membekalkan kain pelikat, jubah dan barangan lain kepada lebih 7,000 masjid di seluruh Malaysia, kata Najib.

Kenyataan Jakel hari ini senada dengan penafian Najib semalam.

Menurut Jakel, urus niaga jual beli dengan Najib dibuat berdasarkan pesanan yang ia terima daripada bekas perdana menteri dan pejabatnya.

Pesanan itu untuk Jakel membekalkan kain jubah bagi program amal anjuran Najib dan Pejabat Perdana Menteri antara tahun 2011 dan 2014. Ia melibatkan lebih 7,000 masjid di seluruh Malaysia serta mangsa banjir, kata Jakel.

“Transaksi tersebut berlaku sebelum sebarang isu berkaitan dengan 1MDB timbul dalam pengetahuan kami,” kata syarikat itu.

Jakel juga menjelaskan ia tidak tahu menahu sebarang isu pengubahan wang haram dan menerima bayaran untuk barangan yang dijual tanpa prasangka.

“Kami tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mempersoalkan sumber dana tersebut kecuali sekiranya terdapat bukti yang jelas bahawa dana tersebut adalah diperolehi secara tidak sah,” katanya.

Syarikat itu juga memberi komitmen bekerjasama dengan kerajaan dan SPRM untuk membersihkan namanya.

“Hanya kepada Allah kita berserah,” kata Jakel.

Najib semalam menyifatkan tindakan sivil SPRM bermotifkan politik untuk melemahkan parti pembangkang.

Katanya, kerajaan menggunakan tindakan saman sivil itu selepas gagal membuktikan tuduhan jenayah bahawa beliau menyalahgunakan dana 1MDB.

Najib sedang dibicarakan atas tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta. Tuduhan itu melibatkan tiga kes pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Kes bersambung bicara pada 1 Julai ini. – 22 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen