RM270j SPRM tuntut bukan duit 1MDB, kata Najib


Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, duit RM270 juta yang dituntut oleh agensi anti rasuah sebenarnya bukan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi sumbangan putera Arab. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2019.

DUIT RM270 juta yang dituntut oleh agensi anti rasuah sebenarnya bukan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi sumbangan putera Arab, kata Najib Razak.

Katanya, wang itu sudah disahkan oleh pegawai bank dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd, yang sedang berjalan di mahkamah, dimasukkan ke akaun bank beliau pada 2011 oleh Kementerian Kewangan Arab Saudi.

“Saya diberi kebebasan penuh oleh Raja Saudi untuk mengendalikan dana ini.

“Saya memilih menggunakannya untuk projek kebajikan rakyat secara terus, melalui NGO dan melalui parti politik yang menganjurkan program-program kebajikan mereka.

“Dana itu bukan digunakan untuk peribadi atau keluarga saya,” katanya, dalam komentar di Facebook, malam ini.

Najib mengulas tindakan saman sivil yang difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap 41 individu dan entiti bagi melucutkan hak mereka ke atas wang yang keseluruhannya berjumlah RM270 juta yang didakwa diberikan kepada mereka oleh Najib secara haram dari dana 1MDB. 

Katanya, wang yang dituntut dari SPRM daripada Jakel Trading dan Jakel Trading Sdn Bhd adalah bayaran kepada syarikat itu untuk membekalkan kain pelikat, jubah dan barangan lain kepada lebih 7,000 masjid di seluruh Malaysia.

Sumbangan pada bulan Ramadan itu dibuat bagi tahun 2012, 2013 dan 2014 melalui badan masyarakat dan parti politik, kata Najib.

“Amat janggal bahawa syarikat Jakel pun didakwa menerima dana haram kerana mereka cuma membekal kepada parti Umno dan NGO untuk program kebajikan.

“Dana tidak disumbang kepada Jakel tetapi bayaran kepada mereka untuk pembelian,” katanya.

Dalam satu komentar berasingan juga di Facebook, Najib mendakwa duit yang dituntut oleh SPRM dari Naza Quest Auto adalah pembayaran untuk pembelian empat buah kereta yang keseluruhannya berjumlah RM270,000.

“Itupun bukan dibeli untuk saya tetapi digunakan oleh NGO tertentu untuk kerja kebajikan mereka.

“Kerajaan PH amat pelik. Naza dibayar kerana menjual kereta. Tapi dituduh melakukan pengubahan wang haram pula,” katanya.

Tambah Najib, tindakan SPRM itu baginya bermotifkan politik untuk melemahkan parti pembangkang.

Katanya, kerajaan menggunakan tindakan saman sivil itu selepas gagal membuktikan tuduhan jenayah bahawa beliau menyalahgunakan dana 1MDB.

Najib sedang dibicarakan atas tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta. Tuduhan itu melibatkan tiga kes pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Kes bersambung bicara pada 1 Julai ini. Setakat ini mahkamah sudah mendengar 42 saksi pendakwaan. – 21 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen