Bukan 41 pihak saja terima duit 1MDB, kata SPRM


Bukan hanya 41 pihak saja tetapi ada banyak lagi penerima duit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2019.

BUKAN hanya 41 pihak saja tetapi ada banyak lagi penerima duit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) agensi anti rasuah, Azam Baki.

“Ya, banyak lagi,” katanya ringkas kepada wartawan di luar mahkamah di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan apakah ada lagi pihak lain, selain 41 individu, syarikat, pertubuhan dan parti politik yang sedang berdepan tindakan pelucutan hak di mahkamah sekarang.

Jelas beliau, mereka yang di luar senarai 41 pihak yang didedahkan sebelum ini boleh dipanggil untuk siasatan oleh SPRM.

Pada 21 Jun lalu, SPRM mengemukakan permohonan di mahkamah menuntut wang yang diterima oleh 41 pihak daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak yang didakwa diseleweng dari dana 1MDB.

Sehari selepas itu, Ketua Pemuda PAS yang baharu Khairil Nizam Khirudin mendesak Pakatan Harapan meminta maaf kerana memfitnah parti Islam itu menerima duit dari Umno yang dikaitkan dengan 1MDB, yang kesnya sedang disiasat oleh SPRM.

Tindakan sivil oleh SPRM dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla) bagi mendapatkan wang berjumlah RM270 juta.

Antara yang terlibat ialah ibu pejabat Umno dan enam pejabat Umno negeri iaitu Kelantan, Selangor, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah, serta dua Umno bahagian iaitu Pekan dan Johor Bahru. 

SPRM turut menyenaraikan beberapa syarikat antaranya agensi pengurusan majlis Binsabi Sdn Bhd, syarikat pelancongan termasuk umrah dan haji Rayhar Travels Sdn Bhd, serta syarikat tekstil Jakel Trading dan Jakel Trading Sdn Bhd.

Dalam reaksi terhadap tindakan saman oleh SPRM itu, Najib berkata duit RM270 juta yang dituntut oleh agensi anti rasuah sebenarnya bukan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi sumbangan putera Arab.

Beliau juga mendakwa wang yang dituntut oleh SPRM daripada Jakel Trading dan Jakel Trading Sdn Bhd adalah bayaran kepada syarikat tekstil itu untuk sumbangan amal pemberian jubah dan lain-lain antaranya kepada imam di seluruh negara.

Jakel dalam satu kenyataan mengesahkan dakwaan Najib. – 22 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen