Lintas langsung hari ke-8 RCI Bank Negara


Bede Hong Noel Achariam

RCI kerugian forex Bank Negara Malaysia memasuki hari kelapan prosiding hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2017.

PERSIDANGAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tentang kerugian forex Bank Negara Malaysia (BNM) memasuki hari kelapan hari ini.

Ishak Tadin, ketua auditor ketika kerugian itu berlaku dijangka memberi keterangan hari ini.

Sebelum ini, keterangan P. Kanason Pothinker yang merupakan bekas pengarah audit di Jabatan Audit Negara, Ishak dikatakan “marah” selepas diberitahu Kanason yang Jabatan Peguam Negara mengatakan “orang atasan cakap jangan campur tangan” berkaitan isu yang bank pusat itu terlibat dalam perdagangan forex tanpa kawalan.

Kanason juga memberitahu RCI yang Ishak ada memberitahunya pada 1993 yang BNM “kerugian banyak wang” tetapi tidak mendedahkan jumlah sebenar kepadanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin memberikan keterangan mereka. Kedua mereka mengatakan BNM mempunyai autonomi penuh dan tidak bertanggungjawab melaporkan aktiviti perdagangan forex kepada mereka.

Dr Mahathir juga mengatakan yang beliau tidak pernah diberitahu tentang kerugian RM30 bilion itu, dan hanya mengetahui kerugian sebanyak RM5.7 bilion.

The Malaysian Insight melaporkan lintas langsung prosiding RCI hari ini:

11.38am: Sidek mengumumkan yang ini adalah hari terakhir siasatan yang didengar daripada 25 saksi dan kajian 42 dokumen.

“Sebagai pengerusi RCI mewakili semua rakan sekerja saya dan pesuruhjaya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, termasuk pegawai pengendali, penasihat, pemerhati dan semua saksi.

“RCI akan mengambil kira semua (perkara) sebelum mengemukakan cadangan kepada Yang Di-Pertuan Agong,” kata Sidek.

Siasatan berakhir.

11.33am: Pendengaran bersambung semula dan Pengerusi RCI, Mohd Sidek Hassan selepas berbincang, panel memutuskan untuk menolak permintaan peguam Dr Mahathir Mohamad untuk memanggil semula bekas penolong gabenor BNM, Abdul Murad Khalid memberi keterangan.

“RCI dapati ia telah melakukan semua yang perlu dengannya (Murad). RCI tidak bercadang memanggil semula Murad,” kata Sidek.

Sidek juga tidak akan menarik semula kenyataan awalnya pada penghujung hari pertama siasatan RCI pada 21 Ogos apabila beliau berkata kesimpulan dapat diambil yang BNM telah rugi sebanyak RM31.5 bilion.

“RCI akan membuat kesimpulan muktamadnya. Semasa siasatan, beberapa angka muncul. Sama ada ia berbeza daripada kesimpulan pertama, isu ia dikeluarkan tidak timbul. Kami akan membuat kesimpulan mukatamad apabila kami menyerahkan laporan (kepada Agong),” katanya.

RCI tidak akan membuat laporan polis terhadap Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Puad Zarkashi kerana kenyataannya terhadap Dr Mahathir.

“Ada banyak perkara yang diperkatakan diluar sana, dalam cyber (media). Kami tidak pernah terlihat komen itu (komen Puad). Ini tiada kaitan dengan kami,” kata Sidek.

11.12am: Pengerusi panel, Mohd Sidek Hassan meminta prosiding berehat sebentar dan meminta peguam-peguam yang mewakili BNM, Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim menfailkan hujah bertulis mereka kepada sekretariat RCI pada Khamis, jam 5 petang.

Sidek juga berkata panel akan akan pertimbangkan permintaan peguam-peguam untuk memanggil semula bekas penolong gabenor BNM, Abdul Murad Khalid ke kandang saksi.

Murad sebelum ini telah memberi keterangan dalam siasatan kerugian BNM sebanyak AS$10 bilion. Murad juga berkata bekas gabenor, Jaffar Hussein tidak menyedari ‘maginud’ kerugian itu. 

11.00am: Peguam Dr Mahathir Mohamad, Haniff Khatri Abdulla tampil memberitahu panel bahawa komen Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Mohd Puad Zarkashi adalah menjejaskan bekas perdana menteri itu.

Haniff berkata satu laporan polis perlu dibuat terhadap Puad kerana kenyataannya boleh dianggap mencabar dan menghina RCI. Puad telah menuduh penasihat BNM, Nor Mohamed Yakcop berbohong kepada panel dan melindungi Dr Mahathir.

10.55am: Pegawai pengendali, Suhaimi Ibrahim memuji pegawai-pegawai penyiasat RCI  dari polis dan Kementerian Kewangan tetapi dia menambah masih ada saksi yang belum dapat dikesan. Salah seorang daripada saksi itu ialah peiaga utama yang dipercayai  berada di Hong Kong. RCI telah meminta bantuan Interpol untuk mencarinya, kata Suhaimi.

10.50am: Rizal berkata panel itu sepatutnya pertimbangkan pilihan alternatif kerana bapanya yang berusia 85 tahun mungkin tidak dapat mengingati butiran kerjanya seperti surat dan dokumen.

Peguam kepada Anwar Ibrahim, Gurdial Singh kemudian menyampuk, dan memberitahu panel yang Rizal tidak diperlukan sebagai saksi. Panel kemudian membenarkan Rizal beredar.

10.43am: RCI bersidang lewat hari ini untuk menunggu saksi ke-25, bekas ketua auditor Ishak Tadin. Bagaimanapun, anak lelakinya Rizal Ishak dipanggil terlebih dahulu. Dia mengesahkan ayahnya berkhidmat sebagai ketua auditor pada 1986 hingga 1994.

Rizal, anak lelaki kedua Ishak, memberitahu panel yang ayahnya sakit pada 2008 yang menjejaskan ingatannya.

“Dia ada masalah ingat perkara lepas,” katanya. – 19 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen