Kenyataan Puad memfitnah, menghina RCI, kata peguam Dr Mahathir


Bede Hong

Peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri menyifatkan kenyataan Puad semalam memfitnah dan menghina RCI. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2017.

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) digesa membuat laporan polis terhadap Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Mohd Puad Zarkashi kerana mendakwa bekas Penasihat Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Mohamed Yakcop menipu panel itu.

Kenyataan Puad adalah “memfitnah” dan “menghina” bekas Menteri Kewangan Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata peguam yang mewakili Dr Mahathir, Mohamed Haniff Kathri Abdulla.

“Ia adalah satu bentuk cabaran kepada maruah dan kehormatan RCI,” kata Haniff dalam satu kenyataan hari ini, menambah yang kenyataan Puad melanggar Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Semalam, Puad menuduh Nor Mohamed yang menjadi saksi RCI pada Rabu lalu sebagai cuba melindungi Dr Mahathir daripada pendakwaan berkaitan kerugian forex bank pusat itu yang berlaku 25 tahun lalu.

“Dia (Nor Mohamed) mengaku bertanggungjawab di atas kerugian besar itu, tetapi menafikan semua keputusan berkaitan urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara sekitar 1990-an itu ditentukan oleh dia secara bersendirian,” kata Puad.

“Maksudnya ada orang lain terlibat. Siapakah orang itu? Yang pasti Nor Yakcop cuba mengelak daripada mengaitkan perdana menteri (Mahathir) dan menteri kewangan (Anwar) ketika itu,” kata Puad menambah yang tindakan Nor Mohamed ialah kerana mahu menghargai jasa Dr Mahathir yang melantiknya sebagai penasihat kewangan semasa Krisis Kewangan Asia 1997/98.

Haniff berkata kenyataan Puad bertentangan dengan kenyataan yang diberikan bekas Timbalan Gabenor BNM Lin See Yan, bekas Gabenor BNM Zeti Akhtar Aziz dan bekas Gabenor BNM Ahmad Mohd Don.

“Orang atasan yang dikatakan Nor Mohamed ialah timbalan dan gabenor BNM (ketika itu) dan bukannya seperti yang difahaminya (Puad) sebagai menteri kewangan (Anwar) dan perdana menteri (Dr Mahathir).

“Hakikatnya (kenyataan Puad) bukan hanya salah dan tersasar, tetapi ia juga bertentangan dengan semua kenyataan saksi setakat ini,” kata Haniff.

Gabenor BNM ketika kerugian forex itu berlaku antara 1988 dan 1994 ialah Jaffar Hussein. Jaffar mengaku bertanggungjawab sepenuhnya atas kerugian itu dan meletak jawatan pada 1994. Beliau meninggal dunia empat tahun kemudian.

RCI diketuai Pengerusi Petronas, Mohd Sidek Hassan akan kembali bersidang pada 18 September depan.

Anwar dan Dr Mahathir kini adalah pemimpin utama Pakatan Harapan, gabungan pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR, Bersatu dan Amanah.

Sebelum ini pemimpin pembangkang menyifatkan siasatan kerugian forex itu bermotifkan politik mensasarkan Dr Mahathir dan Anwar yang ketika itu merupakan perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia. – 9 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen