Bekas penolong gabenor BNM ‘rela menjadi kambing hitam’


Bekas penolong gabenor dan penasihat Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Mohamed selepas selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kerugian urus niaga mata wang asing di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Rabu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 September, 2017.

NOR Mohamed Yakcop cuba mengelak untuk melibatkan Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad dengan skandal forex dan sanggup menjadi kambing hitam, kata ahli majlis tertinggi Umno.

“Beliau bertanggungjawab dalam kerugian besar itu tetapi menafikan semua keputusan berhubung perdagangan tukaran wang oleh bank pusat pada 1990an dibuat olehnya,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi dalam satu kenyataan hari ini. 

“Maknanya ada pihak lain yang terlibat. Siapa individu itu? Adakah dia maksudkan gabenor BNM (ketika itu)?

“Sudah pasti Nor Mohamed mengelak untuk melibatkan perdana menteri ketika itu (Dr Mahathir) dan menteri kewangan (Anwar Ibrahim).” 

Gabenor BNM ketika itu ialah Jaffar Hussein.

Puad turut mempersoalkan mengapa perdagangan tukaran wang diteruskan walaupun terdapat kerugian yang berjumlah berbilion ringgit.

“Mengapa ia tidak dihentikan serta merta? Mustahil Nor Mohamed membuat semua keputusan sendirian dan ia juga mustahil tiada sebarang arahan diberikan di peringkat yang lebih tinggi.

“Anwar sendiri cuba untuk tidak memberi penjlasan ketika disoal Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung mengapa menteri Kabinet hanya diberitahu kerugian RM5.7 bilion sedangkan kerugian sebenar dianggarkan berjumlah RM32.074 bilion,” tambahnya.

Semalam, pengerusi RCI Mohd Sidek Hassan mempersoalkan Anwar berhubung laporan audit yang dibentangkan bekas menteri kewangan itu di parlimen pada April 1994.

Sidek bertegas bahawa menteri Kabinet tidak tahu menahu berhubung kerugian yang ditanggung BNM menerusi perdagangan tukaran wang.

Puad turut menyatakan tindakan Nor Mohamed yang merupakan bekas penolong gabenor BNM itu mungkin sebagai tanda terima kasih kepada Dr Mahathir yang melantiknya sebagai penasihat kewangan ketika Krisis Kewangan Asia pada 1997/1998.

“Isunya adalah orang yang dipertanggungjawabkan.

“Nor Mohamed Yakcop tidak sepatutnya menjadi kambing hitam dan menyembunyikan kebenaran berhubung skandal yang menyebabkan negara menanggung kerugian berjumlah berbilion ringgit dari 1986 hingga 1993 sebelum persaraannya pada April 1994. – 8 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen