Masih banyak soalan tiada jawapan, inkues kematian Adib disambung esok


Timothy Achariam

Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia Disember lalu, tetapi uniformnya bernombor 17476 masih tergantung di Balai Bomba Subang Jaya, tindakan dilakukan rakan sepasukan untuk mengenangnya sampai bila-bila. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2019.

INKUES kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim akan disambung esok dengan saksi ke-20 akan memberi keterangan, walaupun masih tiada kesimpulan kukuh punca kematian hero negara itu dapat dibuat.

Selepas berehat selama 19 hari, Mahkamah Koroner akan bersidang sekali lagi bagi menentukan bagaimana Adib cedera sebelum meninggal dunia dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield November lepas.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember kerana kegagalan paru-paru di Institut Jantung Negara.

Saksi seterusnya yang akan memberi keterangan dihadapan Koroner Rofiah Mohamad Mansor adalah ahli pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang berada di tempat kejadian pada malam Adib cedera.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight yang ASP Suhaimi Yaakub akan memberi keterangan esok.

Sepanjang inkuiri berjalan, keterangan berbeza diberikan beberapa saksi sehingga punca kecederaan Adib- seorang ahli Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia- adalah disebabkan dipukul perusuh ataupun dilanggar trak bomba yang berundur.

Ketua Adib, Ketua Balai Bomba Subang Jaya Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman memberi keterangan yang Adib mengatakan beliau ditarik keluar daripada kenderaan dinaikinya tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada beliau dipukul.

Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim mencetuskan kemarahan seluruh negara, tetapi siasatan polis tidak menemui kesimpulan memuaskan tentang punca kecederaan, memaksa inkues diadakan.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2019.

Bagaimanapun, Dr S Anand, 46, seorang pakar pembedahan jantung di Pusat Perubatan Subang Jaya berkata kecederaan dialami Adib tidak seperti dipukul.

Adib ditemui dengan cedera parah- patah beberapa tulang rusuk kanan dan kecederaan paru-paru- sebaik tiba di hospital.

“Kebanyakan kecederaan Adib tertumpu pada bahagian dadanya dan ia tidak konsisten dengan serangan.

“Tidak mustahil tetapi jelas bahawa pertahanan diri tidak terlibat dalam kes ini,” kata Dr Anand.

Ayah Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, awal bulan lepas memberitahu The Malaysian Insight yang beliau berharap tidak ada usaha melindungi punca sebenar kematian anaknya.

“Kami harap tiada cubaan untuk melindungi kebenaran di sebalik kejadian itu. 

“Tidak kira apa kemungkinan pun, saya harap siapa yang bertanggungjawab untuk kematian Adib akan dibongkar dan diadili di muka pengadilan,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 18 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen