Adib nyatakan secara bertulis bahawa dia dipukul, kata saksi


Timothy Achariam

Ketua Balai Bomba Subang Jaya Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman yang merupakan saksi ke 18 pada hari ke 11 inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim ketika hadir ke kompleks mahkamah di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Februari, 2019

ANGGOTA bomba Muhammad Adib Mohd Kassim menyatakan secara bertulis kepada ketuanya pada dua waktu berasingan bahawa dirinya ditarik keluar dari kenderaan kecemasan dan dipukul ketika rusuhan kuil Sri Maha Mariamman November lalu.

Ketua Balai Bomba Subang Jaya Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman yang merupakan saksi ke 18 pada hari ke 11 inkues berhubung kematian anggota bomba terbabit, memberitahu mahkamah koroner hari ini bahawa Adib nyatakan kepadanya dua kali bahawa dirinya ditarik dan dipukul dengan objek.

Syed Shahril berkata, kali pertama Adib memberitahunya dia dipukul adalah ketika melawatnya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN) pada 5 Disember.

“Saya tanya kepadanya sama ada saya boleh tanya beberapa soalan dan dia mengangguk, tanda ya,” kata Syed Shahril.

“Saya tanya Adib adakah kamu kena pukul, dia mengangguk. Kemudian saya tanya lagi, betul? dan dia angguk lagi.

“Kemudian saya bertanya, adakah kamu ditarik, dia mengangguk dan membuat isyarat tarik dengan tangan kirinya ke bahu kiri berhampiran dada.”

Syed Shahril kemudian memberitahu mahkamah beliau memberi Adib 15 soalan pada kertas ketika melawat anggota bomba itu buat kali kedua pada 12 Disember selepas mendapatkan persetujuan pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Azmi Osman.

“Apabila saya dengar dia berkomunikasi dengan menulis di papan putih, saya sediakan soalan mengenai rusuhan agar dia boleh tulis jawapan,” katanya kepada Koroner Rofiah Mohamad Mansor.

Syed Shahril memberi Adib 15 soalan, setiap soalan diikuti dua kotak untuk nyatakan betul atau salah.

“Saya tanya kepadanya sama ada mereka (perusuh) membuka pintu EMRS ketika van tu berundur? Dia mengangguk ya dan turut tandakan ya pada kertas.

“Soalan kedua adalah: Adakah Adib cuba halang pintu daripada dibuka? Adib mengangguk dan turut tandakan ya pada kertas.

“Adakah mereka berjaya buka pintu van EMRS? Dia tanda ya.

“Adakah Adib ditarik? Dia tandakan ya dan mengangguk.”

Beliau kemudian memberikan Adib soalan pelbagai pilihan.

“Saya tanya: Jika kami ditarik, di mana mereka tarik kamu? Tangan, bahu atau dada? Adib tunjukkan bahunya, dan menanda jawapan bahu dan kemudian menyatakan dia tidak ingat, tetapi dia membuat pergerakan tarik pada bahunya,” kata Syed Shahril.

“Apa yang kamu rasa ketika mereka buka pintu? Saya berikan tiga pilihan: Takut, panik atau tertekan. Beliau tanda tertekan.”

Apabila ditanya sama ada Adib jatuh atau dipukul, Syed Shahril berkata Adib menunjukkan pergerakan dengan tangannya yang dia tidak ingat.

“Saya tanya sama ada dia ditarik dan dipukul? Adib buat pergerakan dengan tangan yang dia tidak ingat. Saya tanya, adakah dia jatuh selepas ditarik, dia berikan maklum balas sama.”

Apabila ditanya sekiranya dia terjatih dan dipukul dan sama ada dia sedar dirinya dipukul, Syed Shahril berkata Adib beri isyarat dia tidak tahu.

“Dia tandakan ya apabila saya tanya sekiranya dia dipukul dengan objek,” kata Syed Shahril.

Adib kemudian ditanya adakah dia ingat objek yang digunakan, yang mana Adib menjawab ‘tidak’.

“Saya berikan beberapa pilihan objek iaitu: kayu, batu, batang besi atau lain-lain, dia tandakan lain-lain.”

Syed Shahril berkata, Adib tidak sedar bila dia dipukul atau cuba mempertahankan diri.

Beliau kemudian memberitahu mahkamah beliau tanya soalan ini mengikut apa yang beliau mahukan kerana mahu tahu apa yang berlaku kepada Adib.

Tambahnya, beliau hanya dimaklumkan kematian Adib ketika sidang media pada malam anggota bomba itu meninggal dunia.

Inkues bersambung pada jam 10.30 pagi esok. – 27 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen