KELUARGA allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berharap tiada perkara terselindung dalam inkues kematian anggota bomba itu yang bermula esok.
Bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid berkata keluarga mereka hanya mahu mengetahui kebenaran dalam kes itu.
“Kami harap tiada cubaan untuk melindungi kebenaran di sebalik kejadian itu.
“Tidak kira apa kemungkinan pun, saya harap siapa yang bertanggungjawab untuk kematian Adib akan dibongkar dan diadili di muka pengadilan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Adib, 24, merupakan satu-satunya individu yang meninggal dunia dalam siri rusuhan yang berlaku di kawasan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25.
Polis menumpukan siasatan ke atas dua kemungkinan – sama ada allahyarham dipukul semasa rusuhan atau digilis oleh jentera bomba semasa rusuhan berkenaan.
Inkues itu dijalankan selama 30 hari pada hari terpilih dari 11 Februari hingga 12 April dan seramai 30 saksi dijangka memberi keterangan.
Mohd Kassim berkata, seorang abang kepada Adib akan hadir ke mahkamah semasa peringkat awal prosiding inkues.
“Belum tiba masa lagi untuk saya datang. Apa pun saya harap kebenaran akan diketahui melalui inkues ini,” katanya.
Inkues terseut akan diketuai oleh timbalan pendakwa raya Hamdan Hamzah.
Enam saksi pakar akan dipanggil termasuk doktor yang merawat kecederaan Adib dan seorang pakar forensik yang menjalankan bedah siasat.
Keluarga Adib akan diwakili peguam Yahya Othman.
Tiga lagi peguam pemerhati adalah Syazlin Othman yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Cyrus Tiu Foo Woei yang mewakili Majlis Peguam diwakili, dan Siti Kasim yang mewakili penganut kuil.
Prosiding inkues itu akan dijalankan di Mahkamah Koroner yang bersidang di Kompleks Mahkamah Shah Alam.
Allahyarham Adib merupakan salah seorang daripada sembilan anggota bomba dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Subang Jaya yang bergegas ke kawasan tersebut apabila beberapa kenderaan dibakar perusuh.
Adib ditemui tidak sedarkan diri di atas jalan dan dibawa oleh orang awam ke Ramsay Sime Darby Medical Centre.
Beliau sedar dan menunjukkan tanda-tanda pulih tetapi keadaan jantungnya semakin merosot dan seterusnya meninggal dunia pada 17 Disember, tiga minggu selepas dimasukkan ke hospital. – 10 Februari, 2019.
Komen