Muhammad Adib meninggal dunia


ANGGOTA bomba Muhammad Adib Mohd Kassim disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami ekoran dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman bulan lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Disember, 2018.

ANGGOTA bomba Muhammad Adib Mohd Kasim meninggal dunia pada malam ini selepas 21 hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah kerana dipukul dalam rusuhan di Seafield, bulan lalu.

Menteri Zuraida Kamaruddin mengesahkan allahyarham meninggal dunia pada jam 9.41 malam di Institut Jantung Negara.

“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman,” kata Zuraida dalam kenyataannya. 

Keadaannya dilaporkan semakin merosot semalam apabila paru-parunya didapati tidak dapat berfungsi dengan baik.

Mangsa dilaporkan mengalami patah tulang rusuk dan kecederaan dalaman akibat dipukul dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 1 pagi itu.

Rakan sepasukannya memberitahu, Muhammad Adib, 24, ditarik keluar dari kenderaan bomba oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Zuraida Kamaruddin mengumumkan berita kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Disember, 2018.

Muhammad Adib tiba di lokasi tersebut bersama beberapa lagi anggota bagi memadam kebakaran sebuah kenderaan yang dibakar perusuh.

Susulan insiden itu, polis menahan empat lelaki yang disyaki memukul Muhammad Adib sehingga mengalami kecederaan parah.

Suspek berusia antara 21 hingga 24 tahun itu direman selama empat hari bermula 7 Disember lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Bagaimanapun pada 10 Disember, mahkamah membebaskan dua suspek dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM2,000 manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis. – 17 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen