Bomba nafi Muhammad Adib dilanggar jentera


Zaim Ibrahim

Dakwaan pihak jawatankuasa kuil itu tidak berasas sama sekali, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mohammad Hamdan Wahid. – The Malaysian Insight pic by Hasnoor Hussain, 28 November, 2018.

PASUKAN bomba menafikan dakwaan jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman bahawa kecederaan anggotanya Muhammad Adib Mohd Kassim adalah akibat dilanggar jentera bomba.

Dakwaan itu tidak berasas sama sekali, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mohammad Hamdan Wahid.

“Dakwaan anggota bomba dilanggar oleh jentera dan bukan dipukul adalah tidak berasas, siasatan polis masih berjalan dan kami serahkan sepenuhnya kepada polis,” kata beliau.

Difahamkan, pasukan bomba akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang, 8 malam ini mengenai dakwaan itu.

Mohammad Hamdan mengulas dakwaan Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Kuil Seafield bahawa kecederaan dialami Muhammad Adib bukan disebabkan serangan perusuh tetapi kemalangan yang berlaku ketika misi menyelamat berlangsung.

Ketua jawatankuasa tersebut S Ramaji mendakwa Muhammad Adib dilanggar ketika jentera bomba itu sedang berundur semasa kejadian.

“Sebenarnya apa yang berlaku adalah beliau berada di belakang trak bomba dan trak itu berundur sangat laju dan melanggarnya ke kereta di belakang,” dakwa Ramaji.

Kenyataan itu turut menerima teguran seorang menteri Kabinet, Xavier Jayakumar yang berkata spekulasi berhubung perkara itu tidak harus timbul dan menyerahkannya untuk siasatan polis.

Muhammad Adib cedera parah dalam kejadian rusuhan pada Selasa malam, sehari selepas kejadian serangan dan rusuhan di kuil tersebut.

Beliau kini mengalami patah tulang rusuk, kecederaan paru-paru dan organ dalaman itu kini dirawat di Institut Jantung Negara.

Muhammad Adib merupakan salah seorang daripada sembilan anggota yang bertugas untuk memadamkan kebakaran semasa kejadian.  – 28 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen