BN pertimbang letak calon Orang Asli di PRK Cameron


Vasudevan Vamadevan Chan Kok Leong

Barisan Nasional sedang mempertimbangkan meletakkan calon Orang Asli untuk PRK Cameron Highlands, menurut MIC sekiranya ia berlaku mereka akan menyokong keputusan terbabit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2019.

SEJAK jadi kumpulan penentu kejayaan calon dalam dua pilihan raya lepas, masyarakat Orang Asli dipertimbangkan oleh Barisan Nasional untuk jadi calon Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands 26 Januari ini.

Sumber MIC berkata kepimpinan tertinggi BN mahukan “calon boleh menang” dan tidak mengetepikan kemungkinan meletakkan calon Orang Asli, calon tersebut juga sudah dikenalpasti.

“Dia bukan daripada mana-mana (parti) komponen. Tetapi, mereka sudah ada calon. Dia adalah aktivis masyarakat. Lulusan universiti dan kerja kerajaan sebelum ini,” kata seorang lagi pegawai MIC, menambah yang parti itu bersedia memberikan ruang bertanding jika calon itu jadi pilihan.

Rundingan yang berlaku kini mengenai calon tersebut berdasarkan persetujuan yang kerusi itu akan terus diberikan kepada MIC pada pilihan raya umum akan datang.

“Parti tidak akan serahkan kerusi itu kepada Umno. Jika Umno mahu bertanding, lebih baik kami (MIC) bertanding sendiri,” kata seorang pegawai tinggi parti kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh mendedahkan bakal calon berkenaan dan keputusan akhir hanya akan dibuat pada mesyuarat BN pada Khamis.

Undi Orang Asli dikatakan menentukan hasil pengundian di Cameron Highlands sejak dua pilihan raya umum lalu.

Dan dengan calon berwibawa masyarakat itu, kepimpinan BN percaya ia mampu meraih undi Orang Asli pada PRK ini.

Masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands sejak dua pilihan raya umum lalu jadi penentu keputusan, menyebabkan mereka jadi tumpuan semua parti bertanding kali ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2019.

Terdapat 32,048 pengundi berdaftar pada pilihan raya umum lalu, dengan peraturan keluar mengundi adalah 76% (24,365) dan pengundi Orang Asli berdaftar seramai 22% daripada daftar pemilih. Melayu membentuk 34% pengundi, Cina (30%) dan India (15%).

Semalam, Presiden MIC S A Vigneswaran menafikan khabar yang kerusi itu akan diberikan kepada Umno.

“Kami tidak memberikan kerusi itu kepada Umno dan Umno juga tidak pernah minta kerusi itu daripada kami.

“Kami akan bertemu Khamis ini bersama Umno dan MCA bagi membincangkan calon terbaik. Kami sedang mencari cara untuk menang pilihan raya kecil ini,” katanya selepas mesyuarat kepimpinan MIC semalam.

Menurut aktivis Orang Asli Isaac Ng, Pakatan Harapan berdepan cabaran besar sekiranya BN meletakkan calon tokoh Orang Asli pada PRK yang bermula Sabtu ini.

“Pada ketika ini, pertandingan tiga penjuru antara BN, calon PH M Manogaran dan M Kayveas (presiden MyPPP). Calon Orang Asli boleh mengubah peluang memihak kepada BN,” kata Ng yang sudah mendekati dan bekerja dengan Orang Asli Cameron Highlands lebih 20 tahun.

Sekiranya Barisan Nasional meletakkan calon Orang Asli yang berupaya menang di Cameron Highlands, ia akan mengubah landskap politik kaum terpinggir di Malaysia itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2019.

Katanya, walaupun Kayveas adalah calon bukan daripada parti besar, beliau masih boleh menarik undi daripada BN dan PH kerana presiden MyPPP itu aktif bekerja di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu.

“Malah Kayveas sudah beli rumah di kawasan ini.

“Dengan undi PAS pergi kepada BN, meletakkan calon Semai di sini sudah cukup untuk BN (menang).”

Pada PRU14 lalu, calon MIC Sivarraajh Chandran menang majoriti 597 undi setelah meraih 10,307 undi berbanding calon DAP Manogaran (9,710), calon PAS Wan Mahadir (3,587), calon PSM Suresh Kumar Balasubramaniam (680) dan calon Berjasa Mohd Tahir Kassim (81).

Tetapi, mahkamah pilihan raya membatalkan keputusan itu dan mengarahkan PRK diadakan selepas Sivarraajh didapati bersalah merasuah pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengharamkan Sivarraajh daripada bertanding dan mengundi selama lima tahun. MIC mencabar pengharaman itu dan permohonan akan didengar pada Khamis ini.

Minggu lepas, sumber MIC mendedahkan terdapat empat calon senarai pendek untuk PRK Cameron Highlands dengan Naib Presiden MIC T Murugiah adalah calon pilihan.

Nama lain adalah aktivis sosial K Subramaniam, ahli perniagaan A K Ramalingam dan calon DUN Sabai untuk PRU14, R Goonasakaren. – 9 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen