MIC senarai pendek 4 calon untuk PRK Cameron


Vasudevan Vamadevan

MIC berdepan tugas berat mempertahankan kerusi Cameron Highlands selepas ia diisytiharkan kosong tahun lepas. PRK ini akan jadi penentu masa depan parti kaum India itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2019.

MIC sudah menyenarai pendek empat calon untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands, dengan Naib Presiden T Murugiah dianggap calon utama, kata sumber parti.

Nama lain dalam senarai adalah aktivis sosial K Subramaniam, ahli perniagaan A K Ramalingam dan calon kerusi DUN Sabai, Pahang pada pilihan raya umum lalu, R Goonasakaren.

Mereka adalah ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC dan berasal daripada masyarakat Kounder yang merupakan suku kaum utama India di Cameron Highlands.

“Bagaimanapun, pada tahap ini Murugiah dilihat sebagai calon kegemaran kerana beliau sudah bekerja di Cameron Highlands sejak beberapa tahun lalu,” kata sumber parti.

Murugiah yang pernah menjadi ketua Pemuda PPP dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri juga sudah berurusan dengan komuniti Orang Asli di Cameron Highlands ketika berkuasa di Putrajaya.

“Beliau bertanggungjawab untuk Jabatan Orang Asli dan berurusan dengan komuniti itu di Cameron Highlands. Beliau bukan orang asing kepada masyarakat yang jadi penentu keputusan dua pilihan raya umum lalu dengan sokongan kuat mereka kepada Barisan Nasional,” kata sumber.

Beliau juga dipertimbangkan untuk bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum lalu tetapi parti ketika itu memilih C Sivarraajh.

Satu lagi sumber parti berkata mereka sudah mempergiat aktiviti di kawasan itu selepas ia diisytiharkan kosong oleh mahkamah pilihan raya tahun lepas.

“Mereka giat melakukan program di kawasan itu melibatkan masyarakat India,” kata sumber.

C Sivarraajh hilang kelayakan bertanding dan mengundi disebabkan terkait dengan amalan korupsi pada PRU14 lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2019.

Mahkamah pilihan raya membatalkan keputusan pilihan raya kawasan itu pada PRU14 lalu selepas mendapati wujud korupsi berlaku apabila pengundi diberi habuan untuk memberikan undi mereka kepada Sivarraajh, calon BN dalam pertemuan lima penjuru itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan menyebut yang naib presiden MIC itu tidak layak bertanding pada PRK Cameron yang dijadualkan berlangsung 26 Januari ini kerana beliau terkait dengan amalan korupsi untuk menang kerusi itu pada Mei lalu.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata keputusan itu dibuat selepas mendapatkan nasihat perundangan tentang kelayakan bekas ahli Parlimen itu untuk bertanding sekali lagi.

Katanya, Sivarraajh juga dihalang daripada mendaftar sebagai pengundi atau calon untuk mana-mana pilihan raya selama lima tahun bermula 13 Disember 2018.

Pada PRU14 lalu, Sivarraajh menang dalam pertandingan lima penjuru di Cameron dengan undi 10,307, majoriti tipis 597 undi berbanding calon DAP M Manogaran yang mendapat 9,710 undi.

Pada pilihan raya itu, PAS mendapat 3,587 undi, PSM 680 undi dan Berjasa hanya meraih 81 undi.

Cameron Highlands adalah salah satu daripada dua kerusi Parlimen dimenangi MIC pada PRU14.

DAP sekali lagi dijangka menamakan Manogaran sebagai calonnya dan sudah mula bekerja di peringkat akar umbi untuk berdepan PRK tersebut, mensasarkan masyarakat Orang Asli.

Diketuai veteran DAP, Lim Kit Siang, parti itu sudah melakukan lawatan hujung minggu ke penempatan Orang Asli sekitar Cameron Highlands.

Turut menyertainya ialah Ahli Parlimen Bentong Wong Tack, Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong dan Manogaran.

Pada lawatannya itu, Lim mencadangkan penganjuran Persidangan Orang Asli Kebangsaan di Cameron Highlands bulan ini untuk membincangkan dan menggubal pelan tindakan memajukan masyarakat itu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan. – 2 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen