MIC akan bawa ke mahkamah berhubung isu Sivaraajh


Christopher Rabin

Presiden MIC S Vigneswaran bagaimanapun tidak menyatakan bila semakan kehakiman itu akan difailkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2018

MIC akan memfailkan semakan kehakiman berhubung C. Sivaraajh yang hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya kecil Cameron Highlands, kata S Vigneswaran.

Presidennya berkata, parti itu merasakan keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengikut undang-undang.

“Kami merasakan keputusan SPR adalah cacat dan salah disisi undang-undang,” kata Vigneswaran.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila parti itu akan failkan semakan berkenaan.

Semalam, SPR dalam satu kenyataan berkata naib presiden MIC hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya kecil Cameron Highlands pada 26 Januari berana terpalit dengan amalan rasuah untuk memenangi kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum Mei lalu.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata keputusan itu dibuat selepas merujuk kepada penasihat undang-undang berhubung kelayakan bekas ahli Parlimen itu untuk bertanding di Cameron Highlands.

Beliau berkata, Sivarraajh juga tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya, dan tidak boleh dipilih dalam mana-mana pilihan raya dalam tempoh lima tahun dari tarikh 13 Disember 2018.

“Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengambil langkah yang perlu sebagaimana yang termaktub di bawah undang-undang dan peraturan pilihan raya yang ada,” kata Azhar dalam satu kenyataan.

Walaupun terdapat ketidakpastian mengenai keputusan semakan kehakiman, MIC akan meneruskan persediaan untuk menghadapi pilihan raya.

“Kita akan bersedia untuk pilihan raya dan terdapat ramai calon yang boleh bertanding kita sudah melihat beberapa calon.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat dedahkan lagi nama mereka,” katanya.

Beliau berkata, MIC yakin akan dapat pertahankan kerusi itu daripada calon lain kerana yakin Sivarraajh telah menjalankan tugas dengan baik.

“Beliau kata, kita akan terus berkempen secara sederhana. Kita tidak berminat untuk acara besar, pembangkang kini sudah jadi kerajaan, kita lihat bagaimana mereka akan lakukan,” katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas mahkamah pilihan raya pada 30 November lalu memutuskan untuk membatalkan keputusan bagi kerusi itu pada pilihan raya umum Mei lalu berikutan terdapat unsur rasuah.

Mereka berkata walaupun mereka mendapati pengundi terpaksa mengundi Sivarraajh, mereka menambah bahawa dia tidak bersalah menyuap mereka dan layak menjadi calon untuk bertanding lagi.

Sivarraajh sebelum ini bertegas beliau tidak pernah menyediakan bantuan kewangan kepada pengundi Orang Asli sebagai dorongan untuk mendapatkan sokongan mereka.

Pilihan raya kecil Cameron Highlands akan diadakan pada 26 Januari, dan pengundian awal pada 22 Januari. Parlimen itu mempunyai 32,009 pengundi berdaftar terdiri daripada 31,750 pengundi biasa, 247 pengundi awal dan 12 pengundi tidak hadir. – 29 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen