Mahkamah benarkan Sivarraajh cabar larangan SPR tanding di Cameron


Alfian Z.M. Tahir

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Naib Presiden MIC C Sivarraajh untuk mencabar keputusan SPR melarangnya daripada bertanding dalam PRK Cameron Highlands. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2019.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Naib Presiden MIC C Sivarraajh untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melarangnya daripada bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Hakim Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan daripada peguam Vasanthi Arumugam.

Mahkamah kemudian menetapkan petang Khamis untuk mendengar merit permohonan itu.

Merit permohonan yang akan didengar pada Khamis itu ialah dua hari sebelum penamaan calon pada Sabtu. Hari mengundi ditetapkan 26 Januari.

Nordin berkata wujud kes “yang boleh dipertikaikan” dalam membenarkan permohonan Sivarraajh itu.

SPR pada 28 Disember berkata Sivarraajh hilang kelayakan untuk bertanding pada PRK Cameron Highlands kerana terbabit dengan amalan rasuah untuk menang kerusi Parlimen itu pada PRU14.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata keputusan itu dibuat selepas merujuk kepada penasihat undang-undang berhubung kelayakan bekas ahli Parlimen Cameron Highlands berkenaan.

Beliau berkata Sivarraajh juga dilarang daripada mendaftar sebagai pengundi atau bertanding sebagai calon untuk mana-mana pilihan raya bagi tempoh lima tahun dari 13 Disember, 2018.

MIC dan Sivarraajh tidak membuat rayuan di mahkamah pilihan raya yang membatalkan kemenangannya pada PRU14 dan hanya memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR menggantung naib presiden parti itu. – 7 Januari, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen