Umno tidak pernah minta kerusi Cameron Highlands, kata presiden MIC


Alfian Z.M. Tahir

Presiden MIC S Vigneswaran menafikan spekulasi Umno akan mengambil alih Parlimen Cameron Highlands. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2019.

UMNO tidak pernah minta untuk bertanding kerusi Parlimen Cameron Highland, kata Presiden MIC S Vigneswaran hari ini.

Menafikan spekulasi bahawa parti utama Barisan Nasional (BN) itu akan mengambil alih kerusi tradisi milik MIC itu, beliau berkata parti kaum India itu juga tidak berhasrat memberikan kerusi Parlimen di Pahang itu kepada Umno.

Beliau berkata parti-parti komponen BN akan bermesyuarat Khamis ini bagi membincangkan calon sebelum membuat pengumuman.

“Kami tidak memberikan kerusi itu kepada Umno dan Umno juga tidak pernah minta kerusi itu daripada kami.

“Kami akan bertemu Khamis ini bersama Umno dan MCA bagi membincangkan calon terbaik. Kami sedang mencari cara untuk menang pilihan raya kecil ini,” katanya selepas mesyuarat kepimpinan MIC hari ini.

Vigneswaran berkata beliau mendapat sokongan ahli MIC untuk membincangkan pemilihan calon dengan Umno dan MCA.

“Saya diberikan mandat untuk mengadakan perbincangan ini pada Khamis.”

Portal berita Malay Mail awal hari ini melaporkan rundingan antara MIC dan Umno sedang berlangsung bagi membolehkan parti Melayu itu menempatkan calon di kerusi yang selama ini ditandingi MIC.

Kerusi Parlimen Cameron Highlands kosong selepas mahkamah pilihan raya membatalkan keputusannya pada PRU14 selepas mendapati wujud bukti mencukupi menunjukkan ahli Parlimen sebelum ini C Sivarraajh yang juga naib presiden MIC, membeli undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya melarang Sivarraajh bertanding lagi susulan keputusan mahkamah itu, dan tidak membenarkannya mendaftar sebagai pengundi atau menjadi calon bagi mana-mana pilihan raya bagi tempoh lima tahun bermula 13 Disember, 2018.

Kerusi Cameron Highlands dimenangi oleh BN pada PRU14 dengan Sivarraajh mendapat 10,307 undi menewaskan Manogaran yang memperoleh 9,710 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Penamaan calon akan diadakan pada 12 Januari dan hari mengundi 26 Januari. – 8 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen