Kahwin warga asing bukan alasan turunkan Agong, kata Apandi


Bede Hong

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali menggesa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, yang bertindak sebagai setiausaha kepada Majlis Raja-Raja, mengeluarkan kenyataan segera berhubung perkara itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2019

SULTAN Muhammad V tidak boleh diturun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong hanya jika baginda berkahwin dengan seorang warga asing, kata bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali.

Menurut Apandi, perkahwinan dengan warga asing tidak masuk dalam senarai alasan khusus untuk menurunkan Seri Paduka mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong hanya boleh diturunkan dengan alasan yang sah, itu pun melalui cara yang betul mengikut undang-undang dengan baginda dibenarkan membela diri.

“Perkahwinan dengan warga asing bukan alasan yang cukup untuk menurunkan Yang di-Pertuan Agong kerana ia tidak tersenarai dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.

“Baginda masih boleh menjalankan tugas-tugasnya,” kata Apandi kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Sultan Muhammad V menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Sultan Ismail Petra di Kota Bharu selepas bercuti selama dua bulan berakhir 31 Disember lepas.

Yang di-Pertuan Agong muncul di khalayak umum ketika desas-desus tersebar kononnya baginda akan diminta melepaskan takhta susulan perkahwinannya dengan bekas model Rusia, Oksana Voevodina.

Laporan perkahwinan itu tidak disahkan dan tidak juga dinafikan oleh pihak istana.

Apandi menggesa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, yang bertindak sebagai setiausaha kepada Majlis Raja-Raja, mengeluarkan kenyataan segera.

“Dalam soal pemilihan Yang di-Pertuan Agong, perdana menteri tiada kuasa. Gabenor pun tiada kuasa. Hanya sembilan raja-raja. Tidak akan ada sebarang campur tangan ahli politik.

“Itu yang jadi perhatian saya kerana keadaan sekarang tidak sihat,” tambahnya.

Semalam, Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak menerima sebarang maklumat berhubung khabar angin yang tersebar mengenai Sultan Muhammad V dan kedudukan takhtanya sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Seperti kamu juga, saya hanya dengar khabar angin.

“Saya tidak terima apa-apa surat rasmi jadi saya tidak akan bercakap mengenai khabar angin,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V muncul di khalayak umum ketika desas-desus tersebar kononnya baginda akan diminta melepaskan takhta susulan perkahwinannya dengan bekas model Rusia, Oksana Voevodina.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2019

Semalam, media memetik sumber melaporkan Raja-Raja Melayu mengadakan mesyuarat tidak berjadual pada malam Khamis, yang dikatakan membincangkan kedudukan Sultan Muhammad V.

Apandi bagaimanapun berkata Seri Paduka tidak boleh diturunkan melalui mesyuarat tidak rasmi melibatkan raja-raja Melayu.

“Sekiranya ada sebarang usaha menurunkan tuanku, ia mesti dibuat melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja atau mesyuarat yang baginda hadir sama supaya baginda boleh mendengar apa salahnya dan mempertahankan diri,” kata Apandi dalam satu pertemuan di pejabatnya di Kuala Lumpur.

“Baginda tentu boleh jelaskan. Kita tidak boleh berkumpul sama-sama, senyap-senyap buat keputusan. Tidak boleh.

“Ia mesti dibuat mengikut undang-undang. Undang-undang memperuntukkan hak untuk didengar, terutamanya jika sebarang keputusan akan memberi kesan kepada orang berkenaan,” kata Apandi.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, seseorang Raja tidak layak menjadi Yang di-Pertuan Agong sekiranya belum dewasa, atau Raja itu memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja baginda tidak berhasrat dipilih.

Baginda juga hilang kelayakan sekiranya Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan melalui undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain.

Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan ketetapan Majlis Raja-Raja memecat Yang di-Pertuan Agong tidak boleh diluluskan melainkan dengan sokongan sekurang-kurangnya lima Sultan.

“Walaupun undang-undang tidak menyatakan perlu pada sebuah tribunal, mesti ada pendengaran dan pembuktian yang teratur untuk membuktikan baginda hilang kelayakan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang sebelumnya dianggap layak,” tambah Apandi.

“Mereka tidak boleh menurunkannya dengan usul edaran. Mereka mesti bersidang. Untuk bersidang, mesti ada notis. Mereka yang hendak menurunkannya mesti membentangkan kes.

“Sama seperti perbicaraan, pendakwaan bentangkan kes. Pihak yang mendakwa mesti membuktikan dakwaannya.”

Menurut Apandi, Yang di-Pertuan Agong ada hak untuk diwakili kerana reputasi dan kedudukannya jadi taruhan.

“Apa yang tersebar di media sosial diselubungi misteri dan ia menjejaskan kedudukan Seri Paduka. Maka, apabila tiada apa-apa yang dikeluarkan secara rasmi, adillah bagi pihak kerajaan negeri menganggapnya sebagai beri palsu,” katanya, merujuk kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah kelmarin. – 5 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kalau berkahwin dengan seorang ratu kecantikan asing adalah tidak haram, mengapa baginda tidak menikah Ratu nya di Malaysia sahaja? Rakyat boleh berbahagia dalam perkahwinan ini bersama-sama.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Roger 5201 · Ulasan