KERAJAAN negeri Kelantan tidak maklum mengenai dakwaan bahawa Sultan Muhammad V akan meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong, kata Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah.
Kerajaan negeri itu juga tidak akan menyiasat perkara itu dan berpegang kepada maklumat bahawa Sultan Muhammad V cuti sakit, katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
“Kerajaan negeri tak ada maklumat. Kalau itu khabar angin, kita janganlah percaya.
“Kita nak terkejut apa sebab khabar angin macam-macam orang cakap. Bukan tentang Yang di-Pertuan Agong saja, tentang kerajaan, kita janganlah termakan dengan khabar angin,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan di media sosial bahawa Sultan Kelantan itu akan meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Dakwaan itu giat disebarkan selepas Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menamatkan tugas memangku Yang di-Pertuan Agong selama dua bulan pada 31 Disember lalu.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong itu menjalankan tugas berikut kerana Sultan Muhammad V dilaporkan beristirahat menjalani rawatan bermula 2 November.
Mengulas lanjut, Amar berkata kerajaan menerima penjelasan sedemikian.
“Tak ada apa yang terjadi, disebut baginda bercuti untuk kesihatan. Jadi kita terima macam itulah, takkan kita nak (adakan) siasatan,” kata Mohd Amar.
Dalam tempoh percutian dua bulan itu, timbul khabar angin di media sosial bahawa Sultan Muhammad V berkahwin dengan seorang bekas ratu cantik Russia.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika diminta mengulas mengenainya bagaimanapun berkata beliau tiada maklumat mengenai perkara itu.
“Saya tidak tahu, saya tidak mempunyai pengesahan rasmi jadi saya tidak boleh berkata apa-apa,” jawabnya ringkas ketika ditanya.– 3 Januari, 2019.
Komen