Perhimpunan Agung Umno boleh ditangguh untuk PRU14, kata Najib


Diyana Ibrahim

Najib berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2017.

PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU 2017) boleh ditangguhkan sekiranya perlu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14), kata Perdana Menteri Najib Razak hari ini pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno.

PRU14 perlu diadakan sebelum 24 Ogos 2018 dan The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan yang BN kekal realistik dengan ramalam kemenangan di 128 kerusi bagi membolehkan parti pemerintah yang sudah berkuasa sejak Merdeka itu terus mentadbir negara.

Terdahulu Najib turut mengumumkan tarikh PAU 2017 yang akan diadakan selama lima hari bermula pada 5 hingga 9 Disember depan.

“MT juga ambil maklum bahawa persidangan peringkat Umno bahagian telah berjalan dengan baik. Dapat sambutan dan displin pun ditunjukkan dengan baik. Tidak ada kerusi melayang,” sindir beliau dipercayai merujuk kepada kekecohan insiden forum “Nothing To Hide 2.0” dua minggu lepas.

Menyentuh mengenai senarai calon PRU14 Barisan Nasional (BN) pula, Najib berkata proses pemilihan senarai pendek calon BN sedang giat dijalankan.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata yang BN bakal meletakkan lebih ramai calon baru dan wanita.

Pada masa sama, Najib berkata ahli Umno telah menunjukkan semangat yang tinggi dan berharap ia dapat diteruskan terutama dalam menghadapi persediaan mengerakkan jentera pilihan raya.

Pilihan raya akan datang dianggap antara yang mencabar pernah berlaku dalam sejarah demokrasi Malaysia, ditambah dengan kemelut dalam pakatan pembangkang apabila PAS bertindak memutuskan kerjasama politik dengan DAP dan PKR seterusnya membubarkan Pakatan Rakyat walaupun sehingga kini desas-desus masih kedengaran yang kelangsungan pembangkang masih bergantung kepada PAS.

DAP dan PKR kini berganding bahu dengan Bersatu dan Amanah membentuk Pakatan Harapan (PH) diketuai bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini menyertai pembangkang.

Malah Dr Mahathir sendiri berpendapat sekiranya wujud pertembungan tiga penjuru antara PH, PAS dan BN ia bakal memberi kelebihan kepada BN dan melemahkan usaha PH untuk menakluk Putrajaya.

Sementara itu beliau juga ditanya mengenai persiapan dan mesej yang akan dibangkitkan semasa berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di White House pada 12 September ini.

“Saya akan buat sidang media sebelum saya pergi. Tapi dalam proses itu kita akan mengadakan perbincangan dalaman bersama pegawai.

“Tapi antara isu yang akan saya bangkitkan ialah perjuangan kita menentang puak ekstremis dan peranan Malaysia bersama rakan sejawat  kita untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai zone selamat dan kita juga akan membincangkan bagaimana untuk menambah baik hubungan ekonomi negara dengan Amerika Syarikat,” kata Najib lagi.  – 24 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen