Di Lembah Klang sekalipun, PH masih perlukan PAS


Sheridan Mahavera

Sekiranya Pakatan Harapan gagal mencari jalan perdamaian dengan PAS dalam PRU 14, pertembungan tiga penjuru bakal berlaku yang hanya merugikan pakatan pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2017.

PETANDA paling jelas Pakatan Harapan (PH) masih memerlukan sokongan bekas sekutunya, PAS untuk menakluk Putrajaya datang daripada salah seorang tokoh pentingnya, Mohamed Azmin Ali.

Menteri besar Selangor itu mungkin tidak terus terang mengakuinya. 

Tetapi tindakannya sejak beberapa minggu ini menunjukkan PH masih memerlukan PAS hatta di kota metropolitan Kuala Lumpur dan Selangor.

Lembah Klang mempunyai pengundi celik politik paling tinggi di negara ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), parti PKR, DAP dan PAS memenangi 17 kerusi Parlimen dan 44 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Daripada 13 kerusi di Wilayah Persekutuan, DAP dan PKR memenangi semua kerusi yang ditandingi kecuali Putrajaya, Labuan, Setiawangsa dan Titiwangsa.

Tetapi sekarang, masih tidak jelas apakah parti PH mampu mengekalkan jumlah kerusi yang dimenangi pada 2013 sekiranya bertembung dengan PAS dan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 akan datang.

Rasional Azmin

Selepas perpisahan dengan DAP dan PKR, PAS mengumumkan mahu bertanding di 40 kerusi Parlimen di seluruh negara.

Mei lalu, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Mohd Farhan Mohd Zain berkata parti Islam itu mahu bertanding di sembilan daripada 13 kerusi Parlimen. Sembilan kerusi itu sekarang disandang PKR dan DAP.

Farhan berkata PAS akan memberi tumpuan kepada pengundi Melayu-Islam dalam kawasan itu yang membentuk jumlah pengundi sebanyak 94% (di Putrajaya) sehinggalah hanya 4% (Kepong).

Mesej utamanya akan berkisar kepada jenama politik Islam PAS yang diharap akan meraih sokongan Melayu-Islam.

“Barisan Nasional dan Pakatan Harapan tidak mempunyai visi pembangunan negara berasaskan syiar agama,” kata Farhan kepada The Malaysian Insight.

Seperti dijelaskan penganalisis politik, sejarah pilihan raya Malaysia membuktikan apabila dua parti pembangkang bersemuka dengan BN, undi mereka akan terpecah dan akhirnya regim pemerintah itu akan memenanginya.

Pada 2013, situasi ini berlaku di dua kerusi bandar di Selangor iaitu Semenyih dan Kota Damansara di mana dua calon parti pembangkang diletakkan melawan calon BN. 

Sekiranya berlaku pertembungan satu lawan satu, sudah pasti calon parti pembangkang akan menang apabila dicampurkan undi kedua-dua calon mereka.

Sumber PH mengatakan dua kes ini merupakan di antara alasan utama mengapa Azmin yang juga timbalan presiden PKR meneruskan hubungan dengan PAS walaupun secara rasminya parti Islam itu sudah memutuskan hubungan dengan partinya.

Kemampuan PAS meraih sokongan secukupnya di Lembah Klang serta menyekat peluang PH menenangi pilihan raya sangat serius sehinggakan Azmin bersedia untuk berdepan kemarahan sekutu sedia ada.

PKR kini bersekutu dengan DAP, Amanah dan Bersatu.

“Kita perlu terus buka pintu kepada PAS. Kita faham kemarahan rakan kita. Tetapi mereka juga perlu faham yang PAS masih lagi penting untuk menewaskan BN,” kata seorang pemimpin PH menjelaskan pendirian Azmin.

Difahamkan, kerusi yang dimiliki personaliti terkenal PKR seperti Nurul Izzah Anwar di Lembah Pantai, Chua Tian Chang di Batu, malah kerusi Azmin di Gombak bakal tergugat jika berlaku pertembungan tiga penjuru.

Peluang terbaik PH untuk kekal memiliki kerusi tersebut ialah membentuk pakatan pilihan raya pada PRU 14 bagi memastikan pertandingan satu lawan satu di antara pembangkang dan BN.

 

Azmin Ali dikatakan ingin terus buka pintu pembangkang kepada PAS disebabkan kegagalan pembangkang memenangi kerusi Semenyih dan Kota Damansara dalam PRU 13 apabila pertembungan tiga penjuru berlaku menyebabkan BN menang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2017.

Menyandarkan harapan

Bagaimanapun, PH menyandarkan harapan kepada fakta mereka masih lagi rapat dengan akar umbi PAS di Lembah Klang, tidak seperti tempat-tempat lain di seluruh negara.

“Sehingga hari ini, kami tidak ada masalah dengan akar umbi PAS. Kami masih lagi berhubungan dengan mereka dan kami masih membantu program mereka,” kata Hazrul Fahmi Ahmad, seorang pemimpin akar umbi PKR di Kuala Lumpur.

Semangat setiakawan akar umbi ini membuatkan pemimpin PKR seperti Fahmi Fadzil optimis persefahaman untuk mengadakan pakatan sewaktu pilihan raya boleh dilakukan dengan PAS bagi kerusi di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Hakikatnya untuk mengalahkan BN, kita perlu mencari jalan bagi memastikan pertandingan satu lawan satu. Itu yang menyebabkan kita terus membuka saluran komunikasi dengan PAS. Pertembungan banyak penjuru hanya menyebabkan BN menang.”

Difahamkan harapan ini juga disuarakan di pihak PAS. Beberapa pemimpinnya sedang cuba mewujudkan pakatan untuk pertembungan satu lawan satu yang hanya akan berlaku di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Tetapi sama ada pakatan itu akan menjadi kenyataan masih boleh dipersoalkan, memandangkan kuasa dalam PAS berpusat kepada presidennya, Abdul Hadi Awang.

Dan Hadi berulang kali mengatakan PAS akan membentuk blok pembangkang ketiga dikenali sebagai Gagasan Sejahtera, yang akan menentang PH dan BN.

Seorang pemimpin kanan PKR yang berurusan dengan Hadi percaya masih ada ruang perbincangan.

“Hadi mungkin kelihatan begitu tetapi beliau masih praktikal dalam menentukan apa yang perlu dilakukan,” kata pemimpin PKR yang meminta namanya tidak disiarkan.

“Akhirnya, Hadi juga masih seorang ahli politik.” – 13 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen