UMNO bakal mempunyai lebih ramai calon baru dan wanita dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi sebagaimana dilaporkan oleh The Star.
Beliau berkata senarai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya hampir selesai, dengan penyerahan yang diterima daripada Umno dan kebanyakan parti komponen, tetapi menambah pilihan calon adalah tertakluk kepada keputusan Presiden Umno dan Pengerusi BN Najib Razak.
“Najib mempunyai jawapannya. Bagaimanapun, Umno akan mempunyai lebih banyak calon baru dan wanita kali ini,” kata Zahid, yang juga naib presiden Umno dan timbalan pengerusi BN.
Ketika ditanya untuk mengesahkan berita mengenai semua Umno negeri telah menyenaraikan tiga nama bagi setiap kerusi parti yang akan ditandingi, beliau berkata: “Mengapa tiga nama untuk setiap kerusi, mengapa bukan lima? Tidak, ia adalah kepimpinan parti yang akan melakukan senarai pendek, bukan negeri.”
Beliau berkata kebanyakan Umno negeri telah mengemukakan senarai mereka.
Zahid berkata Umno dan BN mempunyai badan bebas bagi menilai calon, dengan kaedah yang telah digunakan bagi memastikan pencarian calon yang betul terbukti berkesan semasa pilihan raya kecil diadakan di Sungai Besar, Selangor; Kuala Kangsar, Perak; dan Tanjung Datu, Sarawak.
Beliau berkata beberapa calon yang berhajat sudah mula melobi, tetapi keputusan akhir akan dibuat berdasarkan kemampuan mereka melakukan yang terbaik.
“Semakan masih berjalan, itu sahaja yang boleh saya katakan sekarang. Tetapi, ahli parti harus menerima pilihan parti. “
Beliau menambah banyak parti komponen telah memilih calon di pelbagai negeri.
Parti Rakyat Sarawak sudah mengemukakan senarainya. Ia mengekalkan kesemua enam kerusi Parlimen – Lubok Antu, Sri Aman, Selangau, Julau, Kanowit dan Hulu Rajang – dalam pilihan raya umum 2013.
Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng berkata parti itu telah memuktamadkan 98% senarainya, sementara menunggu perbincangan mengenai beberapa kerusi lagi.
“Kami telah mengemukakan senarai itu kepada menteris besar (negeri-negeri yang terlibat) untuk dikemukakan kepada perdana menteri,” katanya, sambil menambah senarai itu adalah untuk 12 kerusi Parlimen dan 33 kerusi negeri.
Setiausaha Agung MIC A. Sakthivel berkata ia juga telah menyerahkan senarainya kepada Najib, sekurang-kurangnya empat calon bagi setiap kerusi.
Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah Maximus Ongkili berkata parti itu mengemukakan beberapa nama tetapi senarai itu belum diputuskan. – 24 Ogos, 2017.
Komen